Wee Ka Siong cabar Guan Eng berdebat isu Dasar Kabotaj

Wee Ka Siong cabar Guan Eng berdebat isu Dasar Kabotaj

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menggesa agar Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tidak mencari helah untuk muncul bersamanya bagi program perdebatan mengenai Dasar Kabotaj pada 2 November nanti.

Tegas Wee, pihaknya akan tetap meneruskan program perdebatan yang dicadang disiarkan secara serentak di saluran Astro AWANI dan TV3 sekiranya Guan Eng enggan untuk tampil pada program berkenaan.

“Seandainya perdebatan tidak dapat diadakan disebabkan Guan Eng tidak berani berdebat, saya tetap akan mengadakan sesi penerangan mengenai Dasar Kabotaj kepada media dan biarlah media bertanya soalan untuk mendapatkan gambaran sebenarnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook, pada Isnin.

Dalam pada itu, Wee turut menyambut baik langkah pihak Astro AWANI dan TV3 sekiranya program berkenaan dapat disiarkan secara serentak di semua platform agensi media itu.

“Bagi saya, lagi bagus jika TV3 dan Astro AWANI dapat buat siaran langsung dalam TV dan juga platform dalam talian secara serentak.

“Saya lagi suka jika rakyat umum boleh memahami Dasar Kabotaj secara mendalam dan sebarang tanggapan salah dapat diperjelaskan.

“Apa yang penting, jangan hanya mendengar dakwaan pihak tertentu yang tidak berasas lagi mengarut,” katanya menerusi kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Ayer Hitam itu juga membidas pihak Guan Eng serta pengikutnya yang mendakwa Wee Ka Siong tidak berani berdebat menerusi saluran Astro AWANI sebaliknya hanya berani muncul di TV3.

“Kepada pentaksub Lim Guan Eng, tidak perlu reka cerita atau menuduh saya kononnya saya pilih kasih dengan hanya mahu berdebat di TV3 tetapi tidak berani untuk berdebat di saluran Astro AWANI.

“Ini semua cerita dongeng. Sudah banyak kali saya sebut, saya anak jantan dan tidak akan lari dari berdebat dengan Guan Eng.

“Kalau TV3 dan Astro AWANI “on”, saya pasti “on”, Guan Eng jangan “off,” katanya lagi.

COMMENTS