Usaha pemulihan negara tak perlu tunggu pengumuman fasa – Tok Mat

Usaha pemulihan negara tak perlu tunggu pengumuman fasa – Tok Mat

Usaha memulihkan negara ke keadaan asal mesti berlaku sekarang, kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

Katanya proses itu harus dilaksanakan tanpa perlu meninggu satu demi satu fasa diumumkan kerajaan, dan pada masa sama bersedia untuk menerima hakikat virus yang sedang mengancam manusia kini akan jadi peneman selamanya.

“Ia akan menjadi sebahagian daripada peneman kehidupan manusia, abadi dan tidak akan hilang selamanya,” kata Mohamad hari ini.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu juga mencadangkan agar ekonomi negara dibuka semula kepada 17 peratus individu yang sudah melengkapkan vaksin masing-masing.

Mohamad berkata kelompok terbabit perlu dibenarkan menjalani kehidupan normal untuk bekerja, belajar, merentas daerah atau ke masjid mahupun berniaga dengan protokol ketat serta jelas.

“Kita mesti bersedia dengan paradigma baru bahawa pandemik ini akan menjadi endemik (selesema biasa). Strategi pemulihan kita harus dirumus dengan pemikiran sebegini,” katanya.

Tambah Mohamad pihak berkuasa tidak boleh memulakan proses berkenaan hanya selepas semua orang selesai divaksinkan.

Langkah tersebut katanya boleh dibuat secara perlahan-lahan sebagai manifestasi bahawa negara percaya kepada penyelesaian masalah melalui sains.

“Peningkatan aktiviti ekonomi dan sosial akan berlaku dengan kecepatan vaksinasi, insya-Allah,” katanya.

Malaysia sedang berdepan gelombang ketiga Covid-19 yang menyaksikan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan. Ia menyaksikan buat pertama kali kes baru harian melebih 13,000 semalam.

Hari ini saja sebanyak 12,541 kes positif baru dikesan dengan 115 kematian. Jumlah keseluruhan kes yang dicatatkan Kementerian Kesihatan Malaysia setakat ini ialah 893,323 kes dengan 114,053 masih aktif.

Daripada jumlah itu 896 kes ditempatkan di unit rawatan rapi dengan 459 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Jumlah keseluruhan korban Covid-19 pula ialah 6,728 orang.

Mohamad juga berkata Malaysia perlu melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir yang terlibat dalam sektor pekerjaan dalam perkhidmatan penting (essential services).

“Pandemik ini menyedarkan bahawa tenaga kerja kita memerlukan skil berlainan apabila sektor ekonomi dibuka secara total. Sebahagian tenaga kerja mesti dilengkapkan dengan rare and super skills (kemahiran nadir dan hebat).

“Sistem, kemahiran, sikap dan budaya kerja kita tidak lagi boleh changeless. Ekonomi Malaysia menjadi parah dan meleset dengan deras kerana kebanyakan tenaga kerja kita adalah dalam non-essential services.

“Mereka tidak berada dalam sektor kewangan, maha data, teknologi maklumat serta teknologi termaju. Kerana itu berkeja dari rumah itu tidak boleh dijayakan dengan berkesan,” katanya lagi.

COMMENTS