Undi percaya terhadap PM perlu dilakukan – PH

Undi percaya terhadap PM perlu dilakukan – PH

Pakatan Harapan (PH) kekal dengan pendirian bahawa undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu dilaksanakan di Dewan Rakyat.

Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pendirian itu juga selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung perkara sama.

“Isunya sangat jelas bahawa undi percaya (terhadap Perdana Menteri) mula-mula disebut dalam pertemuan Yang di- Pertuan Agong dengan lapan ketua utama parti di Istana Negara.

“Ia diiikuti dengan kenyataan Istana Negara pada 18 Ogos, perkataan itu (undi percaya) disebut sangat jelas, bahkan dalam pertemuan dengan ketua-ketua parti yang dititahkan Seri Paduka Baginda ialah ia mesti perkara pertama dilakukan.

“Jadi, kejujuran adalah kepada kerajaan hari ini (sama ada) hendak laksana atau tidak. Pendirian PH jelas sepertimana yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sebaik selesai menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan PH di Parlimen, di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pendirian PH berhubung undi percaya terhadap Perdana Menteri kekal atau sebaliknya selepas termeterainya MoU tersebut.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, kini keputusan terletak di tangan kerajaan sama ada ingin melaksanakan titah Seri Paduka Baginda atau sebaliknya.

Politik Malaysia mencatat sejarah buat kali pertama apabila kerajaan dan pembangkang menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam urusan pentadbiran negara.

Upacara menandatangani MoU yang dikenali Transformasi dan Kestabilan Politik itu diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mewakili kerajaan.

Bagi pihak Pakatan Harapan (PH) diwakili Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Pemeteraian itu disaksikan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

COMMENTS