Undi percaya PM tidak perlu, pembangkang tak faham – Ahmad Faizal

Undi percaya PM tidak perlu, pembangkang tak faham – Ahmad Faizal

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berpandangan tiada keperluan membawa usul undi percaya untuk mengabsahkan pelantikan perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang Dewan Rakyat yang akan bermula minggu hadapan.

Justeru ahli Parlimen Tambun itu menyifatkan bahawa pihak pembangkang yang mendesak supaya usul berkenaan tetap dibawa dalam persidangan itu, tidak memahami kaedah perundangan negara berhubung lantikan seorang perdana menteri.

Katanya apabila usul undi percaya itu dibawa, perkara berkenaan seolah-olah cuba menidakkan kuasa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memperkenan perlantikan tersebut.

“Mungkin Pembangkang tak berapa faham. Apabila Yang di-Pertuan Agong telah pun membuat lantikan, setelah Tuanku Baginda benar-benar yakin seseorang itu telah mempunyai sokongan majoriti Dewan, maka tak perlu lagi kita nak bawa kepada Dewan.

“Apabila mereka nak bawa ke Dewan, ini bermaksud mereka menidakkan kuasa lantikan seorang perdana menteri itu, oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Moh Lepak Sekejap Bersama YB Peja yang dianjurkan Majlis Belia Negeri dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak, di Meru Raya di sini pada Ahad.

Pada Sabtu Pakatan Harapan (PH) dilaporkan menyambut baik usaha perdana menteri, untuk melaksana transformasi Parlimen namun tetap berpandangan bahawa usul undi percaya terhadap Ismail Sabri masih perlu dilakukan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata PH melihat wujud keperluan usul undi percaya itu diadakan secepat mungkin pada sidang Dewan Rakyat kali ini berdasarkan titah Yang di-Pertuan Agong kepada ketua-ketua parti politik sewaktu sesi menghadap di Istana Negara pada 17 Ogos lalu.

COMMENTS