Tukar PM takkan selesaikan masalah negara – Afif

Tukar PM takkan selesaikan masalah negara – Afif

Menukar kepimpinan kerajaan bukanlah jalan penyelesaian terhadap segala masalah Malaysia pada ketika ini, kerana ia tidak dapat membawa perubahan yang ketara.

Bagi ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin, ini kerana siapa pun ahli politik baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang ketika ini sudah tidak berapa diyakini oleh rakyat. Maka tiada guna bertelagah siapa yang patut mentadbir negara.

“Kalau kita terus bertengkar soal nombor, soal siapa patut jadi Perdana Menteri, siapa patut jadi kerajaan, maka saya takut nanti rakyat mengambil tindakan sendiri.

“Kalau kita lihat krisis-krisis yang dibangkitkan tentang soal nombor ini akhirnya bukan untuk tujuan mengetengahkan permasalahan rakyat, tetapi akhirnya soal untuk menolak seorang individu sahaja iaitu Perdana Menteri dan meletakkan orang lain tetapi membuat jajaran baharu.

“Saya rasa ia tidak akan menyelesaikan masalah,” jelasnya yang juga Timbalan Pengerusi Biro Penerangan Bersatu.

Maka apa yang perlu dilakukan ketika ini oleh para politikus terutamanya Ahli Parlimen adalah mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap mereka. Bagaimana? Dengan kembali semula ke peranan hakiki mereka untuk memperjuangkan isu rakyat.

Dr Afif melihat sesi mesyuarat khas Dewan Rakyat yang akan bermula minggu depan sebagai medan terbaik untuk kerajaan memperjelaskan segala polisi yang dilaksanakan sejak kali terakhir Dewan Rakyat bersidang hampir lapan bulan lalu.

Pada masa sama, rakyat juga akan memerhatikan bagaimana pembangkang bertindak sama ada menjadi penyemak imbang atau menjadi pengacau kepada setiap polisi yang dijalankan pihak pemerintah.

“Sebab itu yang paling penting kita menjawab segala persoalan yang berbangkit supaya rakyat benar-benar yakin dengan usaha kerajaan hari ini, dan mereka akan turut sama dengan rela hati bertindak bersama untuk menyelesaikan masalah yang kita hadapi hari ini.

“Objektifnya adalah untuk mengikat dan menggerakkan seluruh kekuatan rakyat dan negara sebagai satu bangsa Malaysia untuk melawan COVID-19 ini,” katanya.

Justeru tegas Dr Afif, yang perlu diutamakan adalah untuk menyelesaikan dahulu krisis kesihatan, seterusnya krisis ekonomi, dan akhir sekali barulah selesaikan krisis politik yang kita hadapi.

COMMENTS