Tok Mat bimbang Tabung Haji dikawal selia BNM

Tok Mat bimbang Tabung Haji dikawal selia BNM

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan melahirkan kebimbangannya dengan pengumuman Lembaga Tabung Haji (TH) akan dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Menurutnya, ini kerana TH akan diperlakukan sebagai sebuah agensi kewangan dan tabungan semata-mata.

“Ia akan hilang potensinya sebagai sebuah dana amanah dengan misi yang lebih besar dan mulia iaitu pemerdayaan ummah.

“TH adalah dana mahsul yang sangat strategik kepada kepentingan umat Islam di negara ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai Kementerian Kewangan mengumumkan TH akan dikawal selia oleh BNM.

Kementerian Kewangan pada Khamis berkata, Jemaah Menteri bersetuju dengan penyenaraian TH sebagai institusi kewangan Islam bawah Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam.

Mengulas lanjut, Mohamad menyeru agar TH dijadikan sebuah institusi kepercayaan nasional yang ditadbir oleh lembaga pemegang amanah.

“Serahkan pentadbirannya kepada lembaga pemegang amanah yang dianggotai oleh individu paling dihormati dan berwibawa termasuk jika perlu tokoh antarabangsa.

“Masalah TH bukan lagi kawal selia. Masalah sebenar TH ialah kepimpinan terbaik, amanah dan kompeten.

“Dan masa depan TH bukan meletakkan ia di bawah BNM,” katanya.

Beliau berkata, masa depan TH ialah pada kepimpinan yang boleh membongkar potensinya sebagai dana amanah dan pemberdayaan paling produktif untuk ummah.

“Saya mengajak umat Islam menyatakan pendirian tegas agar kerajaan mengembalikan TH ke peranan strategiknya semula selaras dengan semangat penubuhan TH itu sendiri, insya-ALLAH,” ujarnya.

COMMENTS