Tiada undi tidak percaya, tak perlu takut adakan sidang Parlimen segera – Tajuddin

Tiada undi tidak percaya, tak perlu takut adakan sidang Parlimen segera – Tajuddin

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu takut dengan kemungkinan usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat sekiranya Parlimen dibenarkan bersidang secepat mungkin.

Ini kerana, menurut Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, UMNO dan pemimpin parti pembangkang sebelum ini telah memberi jaminan tidak akan mengemukakan usul berkenaan terhadap kerajaan.

Kata beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya UMNO, sebagai sebahagian daripada kerajaan, parti itu telah membuat kenyataan bahawa ia tidak berminat untuk membawa undi tidak percaya.

“Begitu juga dengan kenyataan pemimpin pembangkang seperti PKR, DAP dan Parti Amanah Negara.

“Jadi, tiada apa lagi yang perlu ditakuti. Sidang Parlimen boleh diadakan segera.

“Kerana Perdana Menteri telah diberikan jaminan, tidak akan ada undi tidak percaya dibawa terhadap kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) fasa kedua di kawasan Parlimen Pasir Salak, di sini, hari ini.

Seramai 1,334 menerima bantuan itu yang terdiri dari petugas barisan hadapan di Balai Polis Langkap, Balai Polis Chui Chak, Balai Polis Labu Kubong, Klinik Kesihatan Langkap, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan penduduk setempat yang memerlukan.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu turut menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar sesi persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.

Menurutnya, dengan pembukaan Dewan Rakyat, Ahli Parlimen dapat berkongsi pandangan dan cadangan yang boleh dimanfaatkan untuk membantu kerajaan menangani pandemik COVID-19 dan pemulihan ekonomi.

“Sekarang ini apa juga tindakan diambil sama ada berkaitan saringan dan vaksin, semuanya adalah idea pihak kerajaan.

“Wakil rakyat yang ada ini duduk, tengok sahaja, paling kurang pun, boleh hantar barang makanan.

“Jika dapat dibuka (sidang Parlimen) sepertimana dititahkan baginda, saya rasa kita boleh sama-sama ambil tindakan lebih berkesan dalam menghadapi COVID-19 dan kelangsungan hidup rakyat yang perit disebabkan wabak ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Tajuddin berharap, lebih banyak lokaliti bagi tujuan saringan COVID-19 dibuka di kawasan pedalaman bagi memudahkan penduduk kampung menjalani pemeriksaan kesihatan.

Katanya, ada sebahagian klinik kesihatan, seperti Klinik Kesihatan Langkap, tidak dijadikan lokaliti saringan COVID-19 menyebabkan penduduk terpaksa membuat saringan di tempat lebih jauh.

COMMENTS