Syed Saddiq perlu tahu prosedur saringan Covid-19 sebelum bantu mangsa banjir – Bastien

Syed Saddiq perlu tahu prosedur saringan Covid-19 sebelum bantu mangsa banjir – Bastien

Semua pihak perlu menghormati prosedur yang dikeluarkan pihak berkuasa dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir.

Demikian kata Ketua Pemuda UMNO Segamat, Bastien Onn mengulas mengenai enam sukarelawan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang disiasat polis kerana tidak mengikut prosedur ditetapkan.

Jelasnya, perkara itu seharusnya diketahui Ahli Parlimen Muar yang juga Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Saya nak ingatkan Syed Saddiq janganlah bermain politik dengan musibah banjir ini. Segamat sudah hadap banjir sejak 1 Januari.

“Di mana kamu?,” kata Bastien dalam kenyataan pada Ahad malam.

Jelasnya, prosedur terbabit demi keselamatan kedua-dua pihak iaitu sukarelawan dan mangsa banjir bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.

Tambahnya, menjadi tanggungjawab setiap sukarelawan tanpa mengira sama ada daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau parti politik agar mengikut peraturan ditetapkan ketika membantu mangsa banjir.

Jelasnya lagi, ia bukan untuk menyusahkan sukarelawan, sebaliknya sebagai langkah berjaga-jaga terutama ketika varian Omicron semakin menular di negara ini.

“Peraturan supaya mendapatkan kebenaran adalah bertujuan bagi memastikan semua sukarelawan yang datang dari seluruh pelusuk Malaysia bebas COVID-19 sebelum bercampur gaul dengan mangsa banjir.

“Ini adalah peraturan yang wajar kerana COVID-19 varian Omicron sedang berleluasa dan kita sebagai penduduk Segamat tidak mahu ada penularan wabak di saat kesusahan menghadapi musibah banjir ini,” ujarnya yang juga Exco Pemuda UMNO Malaysia.

Sebelum ini, Syed Saddiq mendakwa enam sukarelawan Muda disoal siasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana menyampaikan bantuan secara terus kepada mangsa banjir di rumah dan pusat pemindahan sementara (PPS) di Segamat, tanpa meletakkannya di tempat khusus terlebih dahulu.

Beliau turut memohon maaf dan mengharapkan budi bicara pihak berkuasa terhadap sukarelawan parti itu yang memberi bantuan terus kepada mangsa banjir tanpa melalui prosedur ditetapkan pihak berkuasa daerah.

COMMENTS