Sulaiman akan umum barisan Exco minggu depan

Sulaiman akan umum barisan Exco minggu depan

Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 awal pagi ini berkata senarai Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri bagi membantu pentadbirannya akan diumumkan pada minggu depan.

Katanya beliau akan meneliti perkara berkenaan terlebih dahulu sebelum membincangkannya dengan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.

“Insya-Allah saya akan memaklumkan perkara ini juga selepas saya mengambil kira segala aspek, kebolehan, begitu juga pengalaman (Exco) bagi setiap portfolio yang akan saya lantik nanti berlandaskan kepada mereka yang telah memenangi 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dan sudah pasti selepas itu, saya akan maklumkan kepada Tuan Yang Terutama Tun untuk berbincang dengan beliau. Insya-Allah bagi saya sedikit masa lagi, dalam masa terdekat.. should be next week (minggu depan) kot,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di hadapan Mohd Ali di Dewan Seri Utama awal pagi ini.

Ditanya mengapa istiadat mengangkat sumpah jawatan berkenaan diadakan pada awal pagi ini berbanding jadual asal pada petang nanti, Sulaiman berkata perkara itu perlu disegerakan kerana ada Mesyuarat Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri pada Selasa, disusuli dengan Mesyuarat Majlis Raja-Raja di Kuala Lumpur.

“So (Jadi) masa itu agak suntuk, besok (hari ini) dah hari Ahad, kemudian banyak perkara yang perlu kita perbincangkan dulu dengan Tuan Yang Terutama Tun. Bila finalised (dimuktamadkan) hari Selasa kita nak bergerak (ke kedua-dua mesyuarat tersebut)…kena angkat sumpah juga pada malam ini,” katanya.

Dalam pada itu, Sulaiman berjanji beliau akan menjadi pemimpin untuk semua rakyat negeri Melaka tanpa mengira etnik, kaum, bangsa mahupun agama.

“Sebagai Ketua Menteri Melaka yang baru saya akan menunaikan kewajipan seperti rakyat negeri Melaka mahukan serta menggalas aspirasi Tuan Yang Terutama Tun dalam memasyhurkan negeri Melaka di persada antarabangsa.

“Di kesempatan ini saya juga ingin mengucapkan sekalung tahniah dan terima kasih kepada seluruh jentera pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka yang mengurus dan mentadbir negeri Melaka sejurus pembubaran DUN Melaka bermula 4 Okt sehinggalah keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) malam tadi,” katanya.

COMMENTS