Sudah tiba masa reformasikan fungsi Parlimen – Shabery

Sudah tiba masa reformasikan fungsi Parlimen – Shabery

Keupayaan Parlimen perlu diperkemas kini supaya peranan institusi penting itu dapat diterjemahkan dengan sebaik-baiknya kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, institusi Parlimen pada masa ini terlalu dilihat sebagai tempat perbahasan oleh masyarakat umum dan tidak lebih daripada itu.

Menurut beliau, perspektif umum itu perlu diubah supaya orang ramai lebih mengetahui peranan dan sumbangan Parlimen kepada pembangunan Malaysia sebagai negara maju tanpa mengetepikan hak rakyat.

“Umum mengetahui bahawa Parlimen merupakan tempat perbahasan tertinggi di negara ini melibatkan wakil rakyat yang membawa usul pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Meskipun begitu, rakyat marhaen masih tidak mengetahui sepenuhnya fungsi serta peranan pelaksanaan melibatkan badan eksekutif yang ada dalam institusi Parlimen itu sendiri.

“Mungkin sudah tiba masanya untuk melakukan reformasi atau perubahan membina terhadap peranan Parlimen. Maka satu kaji selidik secara terperinci perlu dilakukan bagi mengetahui baik buruk untuk proses pembaharuan tersebut,” katanya kepada kru Rasuah Busters pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata, kerja-kerja di peringkat jawatankuasa masih banyak yang tidak diketahui umum.

Tegas beliau, perkara seumpama itu pastinya kadangkala dipersoal oleh rakyat, terutama melihat peranan dan sumbangan besar penggerak institusi Parlimen iaitu ahli jawatankuasanya sendiri.

“Rakyat pastinya akan tertanya-tanya apakah peranan yang dilakukan oleh ahli jawatankuasa institusi itu sekiranya tiada persidangan Parlimen dijalankan?

Selain itu, Ahmad Shabery, berpendapat Parlimen di negara ini seharusnya bebas dalam menentukan bajet kewangannya setiap tahun, namun sebaliknya perkara itu sekadar ditentukan oleh pihak eksekutif itu sendiri dan kerajaan perlu melihat model-model lain yang telah diguna pakai oleh negara luar iaitu menggunakan sistem ala westminster.

“Lihat bagaimana ia dapat memajukan organisasi itu tanpa menjadikan Parlimen terlalu birokratik sehingga mengekang kerja-kerja perlaksanaan eksekutif,” katanya.

COMMENTS