SPRM perlu perjelas isu penarikan balik kes rasuah – Asyraf

SPRM perlu perjelas isu penarikan balik kes rasuah – Asyraf

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu tampil menjelaskan secara tuntas kepada rakyat mengenai semua isu berkaitan penarikan balik kes rasuah yang sedang dibicarakan di mahkamah.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia terutamanya bagi kes melibatkan tokoh politik kerana perkara itu berpotensi merencatkan segala usaha untuk membanteras dan memerangi jenayah rasuah.

“Isu penarikan balik kes rasuah yang sedang dibicarakan di mahkamah terutamanya yang melibatkan individu yang dikaitkan dengan politik adalah suatu yang amat serius dan perlukan penjelasan tuntas daripada pihak SPRM.

“Jika benar alasannya kerana terdapat elemen-elemen kekurangan dalam siasatan serta keputusan pendakwaan yang tidak berasaskan pertimbangan yang menyeluruh, maka ia akan dilihat dan dipersepsikan rakyat semacam SPRM tidak bersifat profesional dan wujud kepentingan politik dalam pendakwaan.

“Pemuda UMNO Malaysia bersependapat dengan saranan dan pandangan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM agar agensi itu tidak sesekali menjadi organisasi yang mudah dipolitikkan oleh mana-mana pihak,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Khamis.

Asyraf Wajdi menambah, SPRM perlu dilihat bebas, profesional dan melangkaui sebarang pengaruh kuasa politik tidak kira siapa pun yang menjadi kerajaan.

“Ini juga penting untuk mengelakkan persepsi rakyat bahawa tindakan SPRM dikaitkan dengan pepatah ‘sekali air bah, sekali pantai berubah’,” ujarnya.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi menerusi komennya pada hantaran tersebut turut berkata, beliau amat bersetuju dengan pandangan agar SPRM diletakkan terus di bawah pemantauan Parlimen dengan ketua pengarahnya dipilih oleh Jawatankuasa Khas Parlimen diwakili wakil parti kerajaan dan pembangkang.

COMMENTS