SOP Covid-19 akan dikurangkan dari 181 kepada 10 saja – Hishammuddin

SOP Covid-19 akan dikurangkan dari 181 kepada 10 saja – Hishammuddin

Kerajaan merancang untuk mengurangkan butiran prosedur operasi standard (SOP) bagi Pelan Pemulihan Negara (PPN) daripada 181 kepada hanya 10 SOP tidak lama lagi.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Hishammuddin Hussein, ia dijangka dilaksanakan menjelang peralihan negara ke fasa endemik pada akhir Okt ini.

“Buat masa ini, terdapat 181 SOP merangkumi keempat-empat fasa PPN.

“Menerusi usaha memperkemaskan semula SOP berkenaan, matlamatnya adalah untuk mengurangkannya hanya kepada 10 SOP.

“Langkah memperkemas SOP yang telah diguna pakai selama lebih setahun ini tentunya akan mengambil sedikit masa namun kerajaan komited untuk menyelesaikannya sebelum peralihan ke fasa endemik,” katanya pada sidang media khas menteri kanan pertahanan di bilik media Parlimen hari ini.

Hishammuddin berkata pengurangan SOP itu akan diumumkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam masa dua atau tiga minggu dari sekarang.

Keputusan itu dibuat selepas perbincangan antara kementeriannya bersama Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa.

Turut bersama dalam sidang media khas berkenaan merupakan Tengku Zafrul, Khairy, Annuar dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Rentas negeri

Ditanya mengenai kelonggaran SOP bagi merentas negeri, ahli parlimen Sembrong itu berkata walaupun ia ada dibincangkan tetapi sebarang keputusan perlu mengambil kira aspek risiko ekonomi, kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

“Ia tidak berkisarkan kita longgarkan kepada rentas negeri, kita kena tengok sektor, risiko dan kesannya kepada ekonomi, kesannya kepada kesihatan dan paling penting kesan kepada well-being (kesejahteraan),” katanya.

Menurut Hishammuddin, penetapan SOP akan dibuat dengan mengambil kira tiga aspek iaitu kawasan sesak, sempit dan sembang dekat (3S).

Sebelum ini rakyat terpaksa berkurung dalam tempoh yang lama di rumah bagi mengekang penularan Covid-19 sehingga menjejaskan kesihatan mental.

Kelonggaran tambahan pelancongan, gimnasium

Selain itu kerajaan turut meneliti beberapa lagi kelonggaran tambahan termasuklah aktiviti pelancongan selain destinasi yang termasuk dalam inisiatif gelembung pelancongan.

Ini dengan menambah destinasi di bawah inisiatif gelembung pelancongan untuk destinasi bukan pulau seperti pembukaan semula gimnasium.

“Namun, sebelum kelonggaran-kelonggaran berkenaan diumumkan, kerajaan menerusi KKM akan terlebih dahulu melakukan penilaian tahap risiko jangkitan Covid-19 dengan menggunapakai prinsip 3S.

“Sekiranya ia memenuhi syarat serta kriteria ditetapkan, kerajaan bersedia membenarkan pelaksanaannya. Perincian mengenainya akan dibincang dalam Mesyuarat Kuartet Menteri akan datang,” kata Hishammuddin.

COMMENTS