Semua ikat perut! Kecuali bank dan kilang – Najib

Semua ikat perut! Kecuali bank dan kilang – Najib

“Kamu ikat perut, kami ikat perut”. Semua ikat perut! Kecuali bank dan kilang, demikian reaksi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas Kementerian Kewangan menyeru syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta Badan Berkanun Persekutuan mempertimbangkan pemotongan gaji dan ganjaran kakitangan mereka secara sukarela.

Menurutnya, sudah berulang kali dinyatakan kerajaan tidak perlu melaksanakan darurat sebelum ini kerana ia akan memberi impak kepada rakyat dan negara.

“Bukan saya tak pernah beri amaran dari permulaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan sebelum darurat bermula.

“Berulang kali saya dah kata. Sehingga saya sendiri bosan tapi terpaksa ulang sebab kesannya amat besar pada rakyat dan kerajaan,” katanya.

“Tak perlu darurat sebab pelabur tak datang dan hasil kerajaan akan jatuh. PKP 1.0 tahun 2020 adalah bukti bahawa kerajaan sudah cukup kuasa untuk membendung Covid-19,” katanya menerusi kenyataan dimuat naik di Facebooknya.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau pernah meningatkan supaya pelaksanaan PKP perlu dilaksanakan dengan kaedah paling ketat supaya dapat memberikan kesan maksimum.

Namun katanya, perkara itu tidak dihiraukan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Buat paling ketat dan singkat untuk beri impak maksimum supaya PKP tidak berpanjangan dan rakyat tidak sia-siakan pengorbanan dan kerajaan boleh mengelak dari berulang kali memberi pakej rangsangan setiap kali PKP dibuat.

“Tapi kerajaan PN tak hirau. Mungkin sebab mereka lebih gemar dengan pendekatan Tun Mahathir untuk rakyat ikat perut” katanya.

Beliau berkata, selepas kerajaan membelanjakan RM600 bilion, kes Covid-19 masih lagi direkod tinggi.

Kes kematian katanya turut direkod setiap hari.

“Selepas kerajaan belanja RM600 bilion dan selepas PKP 1.0, PKP 2.0, PKP 3.0/3.1 dan ‘total lockdown’ 1.0, inilah kesudahannya,

“Kes Covid masih amat tinggi. Rekod kematian hampir setiap hari. Ekonomi masih parah. Kerajaan dah nak bankrap. Rakyat ikat perut. Negara-negara lain pula semakin memulih. Kita ketinggalan lagi,” katanya.

COMMENTS