Rombakan kabinet: UMNO dalam dilema – Khaled

Rombakan kabinet: UMNO dalam dilema – Khaled

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan bahawa parti tersebut berada dalam dilema ketika ini apabila tidak menguasai kerajaan sepenuhnya.

Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak dapat membuat keputusan untuk menggantikan barisan kabinet yang dianggap gagal dalam kerajaan.

Jelasnya, ini kerana dikhuatiri apabila kedudukan digantikan, terdapat ahli Parlimen yang menarik sokongan terhadap Ismail Sabri.

“UMNO berada dalam kedudukan yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Perdana Menteri daripada UMNO tetapi UMNO tidak menguasai kerajaan. Bila desakan untuk melakukan rombakan kabinet, saya sangat bersimpati dengan kedudukan beliau.

“Siapa lagi yang beliau boleh lantik menggantikan ahli jemaah menterinya yang gagal. Beliau bukan mempunyai banyak pilihan daripada ahli Parlimen sedia ada.

“Umum pun tahu, beliau mewarisi jemaah menteri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tumbang. Hampir semua penyumbang yang gagal ini terus berada dalam kerajaan Ismail Sabri.

“Hendak dibuang siapa dan siapa gantinya sangat tertakluk kepada sokongan parti masing-masing. Silap perhitungan, mereka akan menarik sokongan,” katanya dalam portal UMNO Online pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, UMNO tidak boleh membiarkan Ismail Sabri keseorangan agar parti tersebut tidak terkena tempias dituduh gagal oleh rakyat.

Jelasnya, UMNO sedang berusaha keras mencari strategi untuk keluar dari kemelut tersebut.

“Beliau adalah wakil UMNO dan beliau sepatutnya menjadi suara UMNO. Kalau beliau gagal, UMNO yang dituduh gagal. Jadi UMNO tidak boleh membiarkan perkara ini terusan begini.

“Kita tidak mahu kebencian rakyat terhadap PH (Pakatan Harapan) dan PN sebelum ini, menjatuhkan lagi kerajaan Keluarga Malaysia.

“Parti sedang bekerja keras untuk mencari strategi keluar dari kemelut ini. Tetapi buat masa sekarang, dilema UMNO ini akan berterusan,” ujarnya.

Jelas beliau, kedudukan Ismail Sabri yang kini hanya bergantung kepada parti-parti kecil dalam kerajaan menyukarkan lagi untuk membuat sebarang tindakan.

“Menyalahkan Perdana Menteri kerana kelemahan ketara kerajaan sekarang amatlah senang. Tetapi jika kita berada dalam kedudukan beliau, mungkin kita juga akan sukar melakukan apa yang sepatutnya dilakukan.

“Perdana Menteri bukan tidak mengerti betapa keyakinan rakyat terhadap kerajaannya semakin menurun drastik.

“Yang terpukul ialah UMNO. Kerana setiap kelemahan kerajaan, UMNO yang akan menerima bukan sekadar tempias, tetapi ‘the hurricane of people’s anger’ atau ribut taufan kemarahan rakyat,” katanya.

COMMENTS