Rauf nafi dakwaan ada pihak tak setuju Sulaiman jadi KM

Rauf nafi dakwaan ada pihak tak setuju Sulaiman jadi KM

Pengerusi Umno Melaka Ab Rauf Yusoh menafikan khabar angin bahawa terdapat tentangan terhadap pelantikan Sulaiman Md Ali sebagai ketua menteri.

Ab Rauf berkata, kesemua ketua-ketua bahagian parti itu di Melaka sebulat suara menyokong penuh pelantikan itu sebagaimana dinyatakan sebelum ini.

”Saya ingin maklumkan bahawa kami tiada masalah, kita telah bersama-sama mendapat kerajaan yang stabil. Oleh itu saya menolak yang kononnya ada kemelut antara kami yang menentang ketua menteri sedia ada

”Kesemua kami (ketua-ketua bahagian), termasuklah saya selaku pengerusi Badan Perhubungan Umno akan berikan sokongan penuh kepada kepimpinan Sulaiman sebagai ketua menteri Melaka,” katanya pada sidang media di Alor Gajah, malam tadi.

Dia juga menegaskan lantikan Sulaiman menunjukkan kepercayaan rakyat Melaka dengan kerjasama semua ketua-ketua bahagian Umno untuk memastikan selepas ini mereka bersedia menghadapi PRU15.

”Fokus kini adalah berhubung pentadbiran kerajaan negeri yang baru dan kami tiada masalah kerana kita telah mendapat sebuah kerajaan yang stabil,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Rauf menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti itu sama ada mahu menggunakan model parti itu pada PRU15 sehingga membawa kejayaan besar dalam PRN Melaka.

Katanya, penampilan 86 peratus muka baru dalam PRN kali ini terbukti membuahkan hasil apabila rakyat dan pucuk pimpinan BN dapat menerima formula itu dan diterjemahkan melalui keputusan PRN Sabtu lalu.

Sulaiman mengangkat sumpah sebagai ketua menteri awal pagi semalam selepas BN berjaya memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN.

COMMENTS