Rakyat Malaysia diingatkan usah tertipu kali kedua – Abdul Hadi

Rakyat Malaysia diingatkan usah tertipu kali kedua – Abdul Hadi

Rakyat Malaysia diingatkan agar tidak tertipu buat kali kedua dengan memilih Pakatan Harapan (PH) sebagai pemerintah dalam pilihan raya umum akan datang.

Selain itu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menasihati generasi muda agar tidak mudah terpengaruh dengan media tanpa sempadan yang akan hanya membawa penyesalan.

“Cukuplah perkara besar ini menjadi pengajaran. Jangan ditipu untuk kali kedua laksana disengat daripada lubang yang sama, dan haram bersama dengan musuh agama dan umat, sama ada yang nyata mahupun yang tersembunyi,” katanya dalam catatan terbaharu di Facebook di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, mengulas lanjut beliau berkata, kemenangan Pilihan Raya Umum ke-14 berpihak kepada PH kerana rakyat Malaysia terpedaya dengan janji yang diungkapkan.

Bahkan Abdul Hadi berkata, ada janji yang dikatakan boleh ditunaikan dalam tempoh yang singkat malah dalam sehari semalam.

“Apabila tindakan mereka ketika menjadi kerajaan dipersoalkan, semuanya dituding kepada kerajaan yang terdahulu.

“Apa yang dibisingkan oleh mereka ialah perebutan jawatan Perdana Menteri yang menunjukkan perangai bernafsu yang rakus, sifat yang diharamkan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut Abdul Hadi memberitahu, lebih membahayakan umat dan negara, apabila terdapat dalam kalangan mereka yang sedia bersekongkol dengan sesiapa sahaja, termasuklah musuh agama, umat dan negara sehingga sanggup bersama dengan golongan yang nyata bersikap ekstrem terhadap Islam, umat dan Raja.

COMMENTS