PRN Melaka capai objektif, BN menang, PH kalah – Awang

PRN Melaka capai objektif, BN menang, PH kalah – Awang

Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berjaya mencapai objektif banyak pihak yang sebenarnya menolak Pakatan Harapan (PH) untuk kembali memerintah di negeri itu.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Awang Hashim, berkata kemenangan itu sekali lagi menunjukkan rakyat mahukan pimpinan parti Melayu Islam terus memerintah.

“Terutamanya saya ucap tahniah kepada BN kerana kita telah berjaya menafikan PH daripada memerintah semula. Itu objektif utama kita.

“Yang kedua, kita ingin melihat kepada penyatuan ummah. Di sini kita melihat berlaku penyatuan ummah, dan peningkatan.

“Walaupun berlaku pertembungan di peringkat negeri antara BN dan PN di PRN Melaka, di peringkat persekutuan, ini adalah satu impak yang sangat baik untuk kami lebih bertambah rapat ukhwah, ataupun hubungan dalam penyatuan ummah.

“Kita melihat keperluan kepada penyatuan. Ini sangat penting. Ia agak berbeza di antara PRN Melaka berbanding dengan pilihan raya persekutuan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bakul Makanan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Prihatin bersama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Titi Haji Idris dekat sini semalam.

Bagaimanapun, kata Awang, beberapa faktor perlu diberi perhatian memandangkan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sama sekali dilihat berbeza berbanding PRN di Melaka.

Katanya, peratusan individu yang keluar mengundi di Melaka cuma antara 60 dan 65 peratus, bermakna terdapat kira-kira 40 peratus lagi pengundi yang tidak keluar, terutamanya membabitkan golongan berusia antara 21 dan 35 tahun.

Jelas beliau, mereka ini merupakan golongan skeptikal dan mungkin ada juga dalam kalangan pengundi terutamanya yang tinggal di luar Melaka sudah hilang rasa ‘ghairah’ untuk balik menunaikan tanggungjawab itu.

Mengulas lanjut, Awang yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, pelaksanaan Undi 18 pada tahun hadapan bakal membawa satu perubahan drastik dalam landskap politik tanah air.

Katanya, ini bermakna penyatuan ummah terutama di peringkat persekutuan perlu diperkukuhkan bagi memastikan masa depan umat Islam lebih terjamin.

COMMENTS