PN tidak pernah minta jawatan di Melaka – Wan Saiful

PN tidak pernah minta jawatan di Melaka – Wan Saiful

Perikatan Nasional (PN) sangkal dakwaan pihak luar yang mengatakan terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN ingin bekerjasama dalam Barisan Nasional (BN) di Melaka.

Menerusi catatan Facebook, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, perikatan itu memberi fokus kepada pemerkasaan partinya.

“Entah mana datang cerita mengenai ADUN PN mahu menyertai kerajaan negeri Melaka.

“Saya mahu tegaskan bahawa pimpinan tertinggi PN tidak pernah meminta apa-apa jawatan untuk ADUN-ADUN PN Melaka,” jelasnya petang tadi.

Wan Saiful berkata, PN ketika ini terus menganalisis keputusan yang diperoleh dalam PRN yang berlangsung pada 20 November yang lalu.

“Kita akan mengkaji keputusan PRN Melaka, terutama jumlah sokongan yang kelihatan meningkat kepada kita di banyak kawasan.

“Selain itu, kita akan rangka strategi untuk membolehkan kita memperkukuh parti di atas tapak yang telah terbina.

“Kita akan jadikan PRN Melaka sebagai batu loncatan untuk mengorak langkah mara ke hadapan,” katanya.

Terdahulu,  Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata tiada keperluan untuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) baharu daripada PN dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka.

Tambah Mohamad, BN tidak berada dalam kedudukan yang memerlukan parti itu untuk membawa masuk dua ADUN berkenaan sebagai ahli Exco dalam pembentukan kerajaan negeri Melaka.

COMMENTS