PM buka jalan untuk persefahaman UMNO-PH

PM buka jalan untuk persefahaman UMNO-PH

Pemimpin Umno menyifatkan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) semalam, menguntungkan kedua-dua belah pihak.

Bagaimanapun Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Mohd Puad Zarkashi membangkitkan persoalan pihak mana yang akan memperjuangkan isu semasa negara apabila pembangkang kini bersama kerajaan.

“Mungkin parlimen akan senyap seketika. Tidak lagi macam sarkas. Masing masing masuk kandang. Kerja speaker jadi senang,” katanya.

Menulis di Facebook, dia bagaimanapun berkata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob lebih berjaya berbanding pendahulunya Muhyiddin Yassin.

“Persafahaman rentas parti oleh Muhyiddin pada 13 Ogos gagal kerana PH tolak.

“Tetapi Ismail Sabri buka jalan persafahaman kerajaan-PH kepada parti-PH selepas ini. Alang-alang menyeluk pekasam,” katanya.

Semalam, kerajaan dan PH menandatangani MoU di parlimen bagi mengukuhkan kerjasama rentas parti serta mengembalikan kestabilan politik.

‘Pembangkang tetap kekal sebagai pembangkang’

Sementara itu Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan, berkata pembangkang tetap kekal sebagai pembangkang meskipun MOU itu ditandatangani.

Keputusan itu juga tidak membawa makna bahawa Umno kini bersama pembangkang.

“Sepertimana disebut oleh Anthony Loke sendiri, ini tidak bermaksud pembangkang akan berhenti menjadi pembangkang, jauh sekali menjadi sebahagian kerajaan.

“Saya yakin pembangkang masih akan menjalankan peranan mereka mengkritik dan memberi semak imbang kepada Kerajaan. Mereka tidak akan lepaskan lesen tersebut.

“Sama juga bagi pihak kerajaan, persefahaman ini tidak bermaksud kita terus memadam sebarang perbezaan antara parti, ataupun berkongsi kuasa memutuskan sesuatu,” katanya.

Tambah Shahril Umno kekal dengan pendirianya untuk tidak bersama Anwar, DAP dan juga Bersatu.

COMMENTS