Petugas media terima vaksin Rabu ini – Khairy

Petugas media terima vaksin Rabu ini – Khairy

PETUGAS media akan mula menerima vaksin Covid-19 seawal Rabu, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Senarai penerima meliputi wartawan dan jurugambar itu sedang disemak dan mereka akan menerima tarikh janji temu seawal hari ini, katanya seperti dipetik dalam laporan Berita Harian.

“Bermula hari ini, akan ada petugas media yang akan mendapat janji temu. Bagaimanapun, senarai jumlah sebenar petugas media ini sedang disemak di peringkat akhir ini,” katanya dalam sidang media.

Khairy pada April memberi jaminan petugas media akan menerima suntikan seawal Mei dan meliputi kira-kira 1,500 individu.

Bagaimanapun ia masih belum dilaksanakannya, menyebabkan beliau dibantai di media sosial melalui kempen dengan topik #CucukMyPress yang digerakkan petugas media seluruh negara.

Khairy turut diselar parti Pejuang kerana gagal memastikan pengamal media diutamakan dalam pemberian vaksin Covid-19.

Turut menjadi sasaran, Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah yang sepatutnya bertanggungjawab memastikan petugas baris depan mendapat vaksin.

Menurut Putrajaya, seramai lebih 3.57 juta warga menerima vaksin Covid-19 setakat ini dan lebih 1.13 juta daripadanya lengkap menerima dua dos.

Menteri Kesihatan Adham Baba berkata, fasa kedua pemberian vaksin akan meliputi 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya.

Fasa ketiga bermula bulan lepas hingga Februari 2022 pula melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara, dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.

Dalam fasa pertama program yang berlangsung dari Februari hingga April lepas, kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan termasuk warga kesihatan menerima vaksin. – 7 Jun, 2021.

COMMENTS