Perbuatan menyembunyikan fakta gagalkan perancangan kerajaan – Jalaluddin

Perbuatan menyembunyikan fakta gagalkan perancangan kerajaan – Jalaluddin

Perbuatan ‘sorok bawah tilam’ atau menyembunyikan fakta ketika pemeriksaan mengejut dilakukan akan menggagalkan strategi dan perancangan kerajaan dalam sesuatu isu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata demikian susulan dakwaan bahawa Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang ‘dikosongkan’ ketika lawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa.

Menurut Jalaluddin, perbuatan itu merupakan satu bentuk kegagalan berkomunikasi dengan berkesan apabila hanya memaparkan yang terbaik kepada para pembuat dasar.

“Jika perbuatan ini terus diamalkan dalam cara kerja harian, sampai bila-bila kita semua akan ditipu dan tertipu.

Perkara buruk, masalah yang tidak sedap dipandang semuanya disorok agar semua orang pandang kawasan tempat kerja kita sempurna.

“Walaupun pihak HTAR sudah menafikan ada usaha untuk ‘sorok bawah tilam’ perkara yang tidak sedap di mata ketika lawatan Perdana Menteri, namun saya menyampaikan mesej dalam skop yang lebih meluas serta umum,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau pada Khamis.

Pada Rabu, HTAR menafikan Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital berkenaan ‘dikosongkan’ berikutan lawatan Muhyiddin itu.

Pengarahnya, Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata, kenyataan yang tular di media sosial itu tidak benar kerana jabatan berkenaan sememangnya penuh dengan pesakit.

Sementara itu, Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, perbuatan sedemikian juga menyebabkan berlakunya konflik antara orang atasan dan bawahan kerana mesej sebenar tidak disampaikan.

“Saya berharap kita betulkan kembali cara kita bekerja.

Bersikap jujurlah dalam setiap tugasan yang diamanahkan.

Bukankah jujur dalam tugas itu antara sumpah kita semasa lapor diri bekerja?

“Bukankah setiap sen dari upah titik peluh kita bekerja itu akan jadi darah daging anak-anak dan pasangan kita?

“Sekali lagi suka untuk saya berpesan kepada diri saya dan semua agar tunjukkan realiti sebenar.

Barulah kita boleh sama-sama perbaiki apa yang perlu dibaiki,” ujarnya.

COMMENTS