Pemuda UMNO gariskan 7 rasionisasi moratorium 2.0

Pemuda UMNO gariskan 7 rasionisasi moratorium 2.0

Pemuda Umno menggariskan tujuh rasionalisasi ekonomi bagi memastikan institusi perbankkan dapat menawarkan moratorium 2.0 tanpa sebagai caj atau faedah tambahan demi kelestarian ekonomi.

Ketuanya, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ia bagi memastikan keupayaan tunai rakyat tidak terjejas ketika pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (total lockdown) dan dapat mengelak lebih ramai orang menjadi muflis.

Oleh itu katanya, kerajaan sewajarnya kerajaan memanfaatkan sepenuhnya kuasa di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Dengan langkah itu katanya, ia dapat memastikan keupayaan tunai rakyat tidak terjejas akibat pelaksanaan sekatan pergerakan penuh hingga menyebabkan ekonomi negara turut terkesan teruk akibat penurunan drastik perbelanjaan isi rumah terutamanya dalam membiayai keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal dan utiliti.

“Rata-rata orang ramai berhadapan dengan masalah tunai akibat simpanan yang merosot teruk berbanding perintah kawalan pergerakan (PKP) 1.0 dahulu akibat PKP yang berpanjangan.

“Penangguhan bayaran ansuran pinjaman bank juga dapat mengelakkan daripada berlakunya fenomena kemuflisan akibat kejatuhan teruk pendapatan syarikat-syarikat kecil dan sederhana, golongan bekerja sendiri dan isi rumah yang tiada pendapatan tetap termasuk M40 akibat pandemik Covid-19 berpanjangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Asyraf Wajdi, fenomena muflis dalam kalangan rakyat akibat pendapatan terjejas dan ketidakupayaan membayar ansuran pinjaman atau pembiayaan bank akan menyebabkan kerosakan teruk kepada ekonomi negara.

Keadaan itu katanya akan memberi kesan langsung terhadap operasi dan tahap kestabilan institusi perbankan dan kewangan tempatan.

Sebelum ini Pemuda Umno menggesa kerajaan supaya melanjutkan program i-Sinar dan i-Lestari bagi memberi kelegaan kepada rakyat ketika PKP 3.0 dilaksanakan.

Pemuda Umno juga menggesa kerajaan memberikan moratorium pinjamanan kepada orang ramai.

Pada PKP 1.0 yang bermula Mac tahun lalu, kerajaan bukan saja memberikan bantuan khas, malah turut memberi moratorium pinjaman selama enam bulan.

Asyraf berkata, penawaran moratorium mampu menjamin kestabilan sistem kewangan sekali gus mengelak bank-bank berhadapan fenomena ketidakupayaan pelanggan membayar balik hingga membawa kepada peningkatan kadar pinjaman tidak berbayar.

“Keupayaan institusi perbankan tempatan menyerap sebarang potensi kejutan pasaran (market shock) masih berada pada tahap yang kukuh sebagaimana piawai antarabangsa dan Bank Negara.

“Institusi perbankan tempatan mempunyai tahap modal yang sihat dan mampu mendukung aliran kredit ekonomi negara berdasarkan nisbah modal keseluruhan pada tahap 18.1 peratus melebihi dari keperluan Bank Negara iaitu minimum 8 peratus dengan lebihan modal penampan (capital excess buffer) mencecah RM126.3 bilion pada Februari 2021,” katanya lagi.

Jelas Asyraf pelaksanaan moratorium 1.0 terdahulu juga ternyata tidak menjejaskan keupayaan institusi perbankan menjana keuntungan.

Disamping tujuh rasional berkenaan, Pemuda Umno menggesa kerajaan mengarahkan agensi pembiayaan dan kredit milik kerajaan yang memberi fokus kepada golongan B40 untuk melaksanaan moratarium bagi peserta program mereka.

COMMENTS