Pemuda Pas saran Azam Baki direhatkan

Pemuda Pas saran Azam Baki direhatkan

Pemuda PAS menyarankan agar Azam Baki direhatkan ekoran dakwaan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu, sehingga siasatan selesai.

Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata meskipun dia menghormati Azam, namun pegawai tertinggi SPRM itu wajar memberi laluan kepada siasatan untuk membersihkan namanya.

“Saya berpandangan adalah baik untuk beliau bercuti rehat memberi laluan kepada siasatan untuk membersihkan nama beliau. Insya-Allah saya berharap agar beliau dapat kembali bertugas dengan nama yang bersih dari segala tohmahan.

“Pemuda PAS memandang serius isu ini dan ia menjadi suatu kewajipan kepada pihak kerajaan terutama kepada pimpinan perdana menteri untuk mengambil langkah segera dan mengadakan siasatan secara bebas dan terbuka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fadhli turut menyarankan semua pihak yang terlibat, termasuk pegawai tertinggi SPRM direhatkan sehingga siasatan selesai bagi “memastikan ketelusan dalam siasatan, serta membuktikan keseriusan kerajaan dalam menegakkan kedaulatan undang-undang”.

“Pemuda PAS percaya perkara ini harus diambil serius oleh kerajaan bagi menangkis persepsi buruk kepada kerajaan dan negara, serta memastikan integriti terus terpelihara,” katanya lagi.

Azam dilanda kontroversi hebat berhubung dakwaan pemilikan saham di dua syarikat pada 2015. Berdasarkan laporan tahunan Excel Force Bhd 2015, Azam memiliki 2,156,000 waran dalam syarikat itu setakat 21 Mac 2016. Ketika itu, Azam adalah pengarah bahagian siasatan SPRM.

Ia mengundang gesaan agar siasatan dilakukan berhubung hal itu dan Azam direhatkan daripada jawatan ketua tertinggi agensi pencegahan rasuah negara.

Ekoran itu, Azam dalam satu sidang media semalam berkata yang dia memaklumkan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bahawa akaun perdagangan miliknya digunakan oleh adiknya untuk memperoleh saham tersebut.

Saham itu telah dipindahkan kepada adiknya, Nasir Baki.

Pengerusi LPPR Abu Zahar Ujang yang turut hadir, berkata LPPR berpuas hati dengan penjelasan Azam bahawa dia tiada kepentingan kewangan mahupun konflik kepentingan dalam pemerolehan saham tersebut.

Namun, sebahagian pihak mendakwa LPPR tidak mempunyai bidang kuasa untuk membersihkan nama Azam daripada dakwaan konflik kepentingan, sebaliknya menggesa satu Jawatankuasa Siasatan Khas ditubuhkan bagi menyiasat hal itu.

Terbaru hari ini, Suruhanjaya Sekuriti mengesahkan bahawa semua urusan dalam sekuriti hendaklah dilaksanakan hanya oleh pemilik benefisial sekuriti atau penama yang diberi kuasa, dan akan berhubung dengan Azam ekoran pengakuannya bahawa adiknya menggunakan akaun dagangannya untuk membeli saham.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong menyifatkan alasan Azam mengenai akaunnya digunakan oleh adik adalah tidak boleh diterima, dan tidak akan dapat memperdayakan “hatta seorang budak tiga tahun”.

Dia menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengambil tindakan “paling tegas” ke atas Azam untuk meyakinkan rakyat, termasuk mempertimbangkan menggantikan jawatan Azam dengan orang lain.

“Sebagai ketua pesuruhjaya SPRM, Azam harus ada kepekaan yang lebih tinggi tentang transaksi wang berbanding orang biasa. Oleh itu, penjelasan Azam tak boleh diterima,” katanya dalam satu kenyataan.

Oleh yang demikian, katanya, siasatan segera harus dimulakan oleh pihak berkuasa yang berkaitan.

COMMENTS