Pejabat Tanah Perak batal notis usir terhadap 19 tokong dalam gua – Mah Hang Soon

Pejabat Tanah Perak batal notis usir terhadap 19 tokong dalam gua – Mah Hang Soon

Notis pengusiran yang disampaikan ke atas 19 tokong dalam gua di daerah Kinta di Perak telah dibatalkan, menurut Pengerusi MCA Perak Dr Mah Hang Soon.

Menerusi media sosial, Mah berkata keputusan itu dibuat oleh Pejabat Tanah dan Galian Perak berikutan mesyuarat dialog antara dirinya, wakil dari 19 tokong dalam gua dan jabatan itu awal hari ini.

Pengarah jabatan itu bersetuju bahawa beberapa tokong gua itu penting dari segi budaya dan sejarah, katanya.

“Saya akan menubuhkan dan mempengerusikan jawatankuasa sementara untuk meneruskan perbincangan dengan jabatan berkenaan bagi mencari penyelesaian kepada penggunaan dan pengurusan tanah,” kata Mah.

Jabatan itu dan jawatankuasa tokong, katanya akan membincangkan beberapa penyelesaian yang boleh dilaksanakan untuk menyelesaikan isu yang dihadapi oleh tokong supaya rumah ibadat itu boleh menduduki tanah sedia ada secara sah.

MB Perak: Tindakan lanjut lepas mesyuarat exco

Ini termasuk rancangan untuk mewartakan tapak tanah untuk kegunaan tokong atau memberikan lesen penghunian sementara kepada rumah ibadat tersebut, kata Mah.

“Jabatan akan menghantar pakar untuk meninjau dan menilai tokong gua, memastikan keselamatan gua dan tokong, serta melindungi alam semula jadi dan monumen bersejarah.

“Kami akan meningkatkan kesedaran dan (mempunyai jawatankuasa) untuk memastikan aktiviti masa depan di tokong dan gua tidak akan merosakkan alam semula jadi dan monumen bersejarah,” jelasnya.

Dilaporkan bahawa tokong-tokong dalam gua – termasuk Tokong Gua Nam Thean Tong (gambar, atas) yang dikatakan berusia 155 tahun – telah diserahkan notis pada Jumaat lalu untuk mengosongkan premis mereka dalam tempoh 30 hari.

Sementara itu, Menteri Besar, Saarani Mohamad dipetik Bernama berkata dia mengadakan satu perbincangan bersama Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Perak dan Pegawai Daerah Kinta pada hari ini bagi mendapatkan gambaran sebenar.

Jelas Saarani, esok dia akan mengadakan pertemuan bersama pihak pembangkang mengenai isu berkenaan.

“Saya akan bawa perkara sama dalam mesyuarat exco pada hari Rabu untuk mendapatkan pandangan.

“Selepas itu kita akan maklumkan apakah tindakan selanjutnya,” katanya.

COMMENTS