MoU Kerajaan-PH buka lembaran baru sejarah negara

MoU Kerajaan-PH buka lembaran baru sejarah negara

Memorandum persefahaman (MoU) yang bakal dimeterai Blok Kerajaan dan Pembangkang di Dewan Rakyat petang ini bakal membuka lembaran baharu dalam sejarah Malaysia.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam Titah Diraja Tuanku pagi ini menzahirkan penghargaan kepada pendekatan baharu kerjasama dwi-partisan antara semua pihak.

Agong bertitah, memorandum itu bakal membentuk landskap politik baharu dan membawa perubahan dalam sistem pentadbiran negara.

Dalam satu kenyataan bersama antara Kerajaan dan Pembangkang pada Ahad, memorandum persefahaman tersebut bertujuan untuk mengembalikan kestabilan politik negara demi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara melalui pendekatan kerjasama secara dwi-partisan.

Perjanjian yang bakal dimeterai di Dewan Banquet, Bangunan Parlimen pada jam 5 petang Isnin itu, akan didedahkan sepenuhnya kepada umum sebagai komitmen terhadap keterbukaan penuh dan kebertanggungjawaban.

Ia akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bersama-sama pimpinan kanan Pakatan Harapan, iaitu Presiden PKR merangkap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu, dan Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Selain itu, Kerajaan akan turut diwakili Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Tan Sri Annuar Musa, dan Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul.

Sementara itu Blok Pembangkang pula diwakili Datuk Seri Saifuddin Nasution, Datuk Seri Salahuddin Ayub, Anthony Loke Siew Fook, Gobind Singh Deo, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, dan Fahmi Fadzil.

Pada Ogos lepas, Perdana Menteri telah mengadakan pertemuan dengan pimpinan kanan Pakatan Harapan di Pejabat Perdana Menteri.

Perkembangan itu dianggap penganalisis politik sebagai muafakat kedua-dua pihak untuk menjunjung kasih Titah Agong agar usaha ditumpukan kepada menangani COVID-19, dan kembalikan kesejahteraan kepada rakyat dan negara.

Dalam kenyataan susulan, Anwar berkata, pertemuan itu bagi meredakan suhu politik yang dilihat terlalu panas ketika ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, Pakatan Harapan tiada masalah dengan pentadbiran Perdana Menteri baharu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jika pendekatan yang diambil kerajaan, fokus ke arah usaha menangani krisis pandemik COVID-19, dan ekonomi rakyat.

Pada 10 September lepas, Perdana Menteri mengumumkan tujuh tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Ismail Sabri berkata, ia selaras dengan titah nasihat Agong dan Raja-Raja Melayu tentang peri pentingnya sebuah pentadbiran yang stabil dan dapat berfungsi secara biasa dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis.

Tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan meliputi:

1. Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen;
2. Pelaksanaan Undi18 dalam tempoh terdekat. Justeru, satu Rang Undang- Undang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan;
3. Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun;
4. Keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan Ahli Parlimen Kerajaan dan Ahli Parlimen Pembangkang;
5. Setiap Rang Undang-Undang termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama;
6. Ahli parti pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan; dan
7. Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.

Majlis menandatangani MoU berkenaan, serta perincian mengenai jenis persefahaman antara Kerajaan dan Pembangkang, akan dibawa secara langsung di semua platform rasmi Astro AWANI.

COMMENTS