MoU kerajaan-PH adalah satu titik permulaan baru – Zafrul

MoU kerajaan-PH adalah satu titik permulaan baru – Zafrul

Memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan, tidak bermakna kerja kuat untuk memulihkan negara sudah berjaya.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, MoU ini adalah titik permulaan baharu untuk semua pihak bersama-sama menghadapi cabaran sebagai Keluarga Malaysia.

Katanya, setelah perbincangan mendalam, parti-parti politik utama Malaysia bersetuju untuk mengetepikan cita-cita peribadi dan mengutamakan kesejahteraan rakyat.

“Memorandum ini bukan bermakna kerajaan mempunyai kuasa mutlak untuk berbuat sesuka hati.

“Memorandum ini memastikan bahawa semua ahli politik akan menggembleng sepenuhnya buah fikiran, tenaga dan kuasa untuk membantu rakyat dan negara bangkit semula setelah menghadapi cabaran COVID-19 yang kesannya cukup mendalam,” katanya menerusi catatan di laman Facebooknya malam ini.

Ujarnya, MoU ini akan memastikan semua ahli politik menggembleng sepenuhnya buah fikiran, tenaga dan kuasa untuk membantu rakyat dan negara bangkit semula daripada kesan pandemik COVID-19.

Jelas Tengku Zafrul, dalam fasa pemulihan, individu akan dibantu untuk menjana pendapatan, syarikat akan dibantu untuk berkembang semula, serta ekonomi negara akan dipastikan berada di landasan terbaik.

“Memandang ke hadapan, saingan kita bukanlah sesama kita dalam negara, tapi saingan kita ialah negara-negara lain.
“Dan musuh kita juga bukanlah sesama kita, tetapi COVID-19 dan pelbagai cabaran yang sama menggerunkan seperti perubahan iklim yg menyaksikan kemusnahan di banyak negara termasuklah di negara-negara maju,” katanya lagi.

COMMENTS