Mohamad Ali akan ambil tindakan singkir pengkhianat di kalangan ahli UMNO

Mohamad Ali akan ambil tindakan singkir pengkhianat di kalangan ahli UMNO

UMNO Bahagian Tangga Batu mendakwa wujud unsur sabotaj di kalangan ahlinya ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu lalu.

Ketuanya, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata ada di kalangan ahlinya yang bertindak membantu calon lawan dan tidak keluar untuk mengundi, yang mana beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai melanggar prinsip parti.

“Walaupun kejayaan ini telah kita kecapi, saya telah menerima beberapa laporan bahawa ada ahli UMNO melakukan perkara tidak baik kepada parti sepanjang Pilihan Raya Negeri Melaka diadakan.

“Antaranya ialah ada ahli UMNO yang sanggup tidak keluar membantu calon UMNO dalam Barisan Nasional, mereka lebih memilih untuk membantu pihak lawan dan bersama atas dasar ‘kononnya’ kawan, tetapi ia tetap melanggar prinsip parti.

“Ada juga yang sanggup sabotaj parti dalam PRN Melaka hanya semata-mata kerana tidak berpuas hati dengan keputusan yang telah dibuat oleh parti UMNO,” katanya melalui satu kenyataan media di Facebook sebentar tadi.

Beliau yang terkenal dengan panggilan Cikgu Ali berkata, Jawatankuasa UMNO Bahagian akan mengambil tindakan dengan meyingkirkan mereka yang terbukti melakukan tindakan sabotaj itu.

“Sehubungan dengan itu saya bersama Jawatankuasa UMNO Bahagian Tangga mengambil langkah dan tindakkan yang sewajarnya untuk menguatkan lagi kedudukan parti dan kesetiaan ahli kepada parti agar terus kukuh dan tidak berbelah bahagi untuk parti.

“Kerana perjuangan UMNO memerlukan ahli yang setia dan memberi komitmen kepada parti samada ketika senang atau susah.

“Saya bersama Jawatankuasa UMNO Bahagian Tangga Batu akan membuat PEMBERSIHAN parti UMNO untuk menyingkirkan PENGKHIANAT dan PEMBELOT dalam UMNO Bahagian Tangga Batu. Ia perlu dilakukan demi menguatkan lagi Parti UMNO dalam Bahagian Tangga Batu agar tiada lagi musuh dalam selimut,” jelasnya lagi.

Menurutnya, tindakan tegas itu bertujuan untuk memastikan perkara seumpama itu tidak berulang lagi di masa hadapan.

“Saya akan meminta semua Ketua Cawangan UMNO di dalam Bahagian Tangga Batu untuk menghantar laporan dan bukti dalam mengenal pasti mana-mana ahli UMNO yang telah menjadi pengkhianat, pembelot dan tidak setia serta sanggup sabotaj PRN Melaka sebelum ini.

“Akhir kalam, saya bersama Kepimpinan UMNO Bahagian Tangga Batu amat tegas dengan keputusan ini, semuanya demi memelihara UMNO Bahagian Tangga Batu agar tidak lagi di khianat, di belot dan di sabotaj.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua ahli UMNO yang kekal setia bersama UMNO ketika susah dan senang serta sanggup berkorban dan berjuang dalam Pilihan Raya Negeri Melaka bagi memastikan kemenangan kepada Barisan Nasional,” ujarnya lagi.

COMMENTS