MIC desak PM batal rayuan isu kewarganegaraan bayi

MIC desak PM batal rayuan isu kewarganegaraan bayi

Langkah kerajaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membuat rayuan berhubung keputusan mahkamah mengenai isu kerakyatan anak dilahirkan wanita Malaysia di luar negara terus mendapat kritikan dari dalam kerajaan sendiri.

Terbaru, MIC menyertai gerakan mendesak agar Putrajaya tidak merayu keputusan mahkamah berkenaan.

Hari ini Naib Presiden MIC, C Sivaraajh, berpendapat tindakan kerajaan itu sebagai “cukup tidak berasas”.

Katanya berdasarkan statistik yang didapati melalui Hansard Parlimen antara 2013 hingga 2018 terdapat 4,959 permohonan kewarganegaan untuk kanak-kanak yang dilahirkan wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.

Daripada jumlah tersebut, katanya, hanya 142 diluluskan manakala 3,715 lagi ditolak.

Bagi tempoh 2018 dan 2019 pula, tambah Sivaraajh, terdapat 2,253 permohonan lagi dibuat mengikut Perkara 15 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Sept lalu yang memutuskan bayi dilahirkan di luar negara oleh ibu warga Malaysia berhak mendapat kerakyatan Malaysia secara automatik akhirnya memberikan satu harapan baru kepada hampir 5,000 lebih pemohon sedia ada.

“Tindakan kerajaan untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tempoh adalah satu langkah yang cukup tidak berasas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Sivaarajh kebanyakan wanita yang membuat permohonan berkenaan adalah ibu yang berhajat untuk membesarkan anak-anak mereka di Malaysia atas pelbagai faktor.

Antaranya, kata Sivaarajh, kerana kegagalan perkahwinan kesan daripada keganasan rumah tangga.

“Tindakan kerajaan untuk membelakangi keputusan yang cukup bermakna itu dengan mengemukakan rayuan adalah langkah ke belakang dan seolah-olah mencerminkan tiadanya komitmen untuk memperkasa hak asasi wanita,” katanya.

Justeru menurut Sivaarajh kerajaan perlu segera mempertimbangkan semula cadangan untuk tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu.

Untuk rekod minggu lalu MCA juga mengecam keputusan Kementerian Dalam Negeri untuk merayu keputusan mahkamah tinggi terbabit dan mempersoalkan langkah yang dianggap sebagai meneruskan dasar diskriminasi gender.

Beberapa menteri juga bersuara menyatakan rasa tidak senang dengan langkah tersebut, termasuk Annuar Musa (Menteri Komunikasi dan Multimedia).

Ahli parlimen kerajaan dan pembangkang juga sependapat agar Putrajaya tidak meneruskan cadangan merayu keputusan berkenaan.

COMMENTS