Mahathir umum Pejuang tak jadi sertai PRN Melaka

Mahathir umum Pejuang tak jadi sertai PRN Melaka

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak akan terlibat dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka yang akan berlangsung awal bulan depan, kata Pengerusi Penaja Pejuang Dr Mahathir Mohamad.

Malah menurutnya, parti itu tidak akan membantu mana-mana parti politik untuk berkempen.

“Awal-awal lagi saya nak katakan yang Pejuang tidak akan mengambil bahagian dalam pilihan raya ini.

“Sebabnya kita anggap ini adalah mainan politik. Orang ini tak serius dalam politik.

“Kita masuk dalam politik untuk berkhidmat untuk negara, untuk memajukan negara dan kehidupan yang selesa kepada rakyat,” katanya.

Bekas perdana menteri sebanyak dua kali itu memberi contoh peningkatan mendadak kes Covid-19 sehingga mencapai 25,000 kes sehari selepas PRN Sabah pada September tahun lalu.

Justeru Mahathir menyatakan kebimbangan situasi sama berulang pada PRN Melaka meskipun kerajaan telah melarang kempen terbuka dan majlis sosial.

“Jadi pilihan raya ini tidak patut diadakan sama sekali dan kejatuhan kerajaan Melaka pun tidak patut diusahakan,” katanya.

“Kita takkan bantu mana-mana pihak. Kita berkecuali sama sekali. Ahli-ahli Pejuang tidak akan pergi ke Melaka dalam pilihan raya, tidak akan berucap di pilihan raya,” katanya.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan berkata sebarang kegiatan, perhimpunan atau majlis sosial sepanjang tempoh perjalanan PRN Melaka – termasuk ketika kempen – adalah tidak dibenarkan.

Larangan itu bertujuan mengelakkan peningkatan kes dan kluster Covid-19 dan akan berkuatkuasa bermula hari ini (25 Oktober) hingga 27 November 2021.

PRN Melaka akan berlangsung pada 20 November, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 8 November dan tarikh mengundi awal pada 18 November.

COMMENTS