Mahathir tuduh Najib penjenayah VIP pertama di Malaysia

Mahathir tuduh Najib penjenayah VIP pertama di Malaysia

Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Dr Mahathir Mohamad menggambarkan tindakan mahkamah memulangkan passport ahli parlimen Pekan Najib Razak sebagai satu ‘kes yang luar biasa’.

Dia turut menyifatkan Najib seperti penjenayah VIP pertama di Malaysia kerana mendapat layanan berbeza, hanya dengan memberi alasan tidak sihat untuk mendapatkan penangguhan kes perbicaraanya di mahkamah tetapi boleh hadir ke tempat lain.

“Kes ni adalah satu kes luar biasa. Datuk Seri Najib ni nampak sihat, boleh pergi ke parlimen, boleh pergi ke sana sini berkempen tapi tidak sihat untuk dibicara dalam mahkamah.

“Sekarang ini dia boleh dapat passport pergi ke negara lain, dan bukan itu saja. Dah dapat passport pula, boleh postpone (tangguh) pula pasal dia nak berkempen (di PRN Melaka).

“Jadi saya tak tahu apa dia jenis pemerintahan ini. Kadang-kadang boleh, kadang-kadang tak boleh.

“Orang ini boleh, orang itu tak boleh. Mana ada keadilan,” katanya pada sidang media di Yayasan Al-Bukhary di Kuala Lumpur hari ini.

Pada 22 Okt lalu, Najib memohon kepada mahkamah untuk meminda tarikh bagi pelepasan dan penyerahan pasportnya dari 20 Oktober hingga 22 November ke tarikh 25 Oktober sampai 6 Disember.

Kata Najib, ini kerana dia telah ditugaskan untuk membantu jentera Umno pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November depan.

Bagaimanapun semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata sebarang kegiatan, perhimpunan atau majlis sosial sepanjang tempoh perjalanan PRN Melaka – termasuk ketika kempen tidak dibenarkan bagi mengekang peningkatan kes jangkitan Covid-19 di negara ini.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib mendapatkan pasport antarabangsanya buat sementara bermula 20 Oktober hingga 22 November ini.

Ia bagi membolehkan bekas perdana menteri itu melawat anak perempuannya Nooryana Najwa yang kini berada di Singapura dan bakal melahirkan anak kedua pada November ini.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata layanan yang diberikan terhadap Najib berbeza dengan layanan terhadap orang kebanyakan yang telah didakwa dan dihukum sehingga masuk penjara.

“Tapi orang ni dah kena hukum salah tapi tak masuk penjara dan dapat escort (pengiring) macam VIP – ‘the first VIP criminal in Malaysia’,” katanya lagi.

Mahkamah Rayuan sebelum ini menyita pasport Najib ketika mendengar rayuannya yang disabitkan bersalah atas pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Pada 28 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada Najib.

Mahkamah tinggi bagaimanapun membenarkan permohonan pasukan pembelaan untuk menangguhkan hukuman, sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.

COMMENTS