Mageran diperlukan untuk selesai pelbagai krisis negara – Mustapha

Mageran diperlukan untuk selesai pelbagai krisis negara – Mustapha

Majlis Gerakan Negara (Mageran) boleh ditubuhkan ketika ini sebagai satu penyelesaian menyeluruh pelbagai krisis yang melanda negara hari ini.

Menurut Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub, ia termasuk krisis kesihatan, politik dan ekonomi.

“Pembentukan majlis itu tidak hanya terhad kepada peristiwa-peristiwa jika berlaku kekacauan seperti yang pernah terjadi pada pada 13 Mei 1969, sebaliknya Mageran boleh ditubuhkan jika membabitkan soal keselamatan, sosial dan sebagainya.

“Mageran akan ditadbir oleh beberapa orang yang pakar dalam bidang masing-masing sebagai contoh pakar ekonomi dilantik untuk menyelesaikan masalah ekonomi, selain pakar kesihatan pula dipilih untuk mencari kaedah penyelesaian isu kesihatan ekoran pandemik COVID-19 yang melanda negara.

“Ia melibatkan orang di luar parti politik yang memahami permasalahan isu semasa sekarang.

“Jadi tidak ada masalah nak tubuhkan Mageran dalam konteks negara pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah membawa usul penubuhan satu pasukan khas seperti yang pernah diguna pakai pada 1969 iaitu Mageran bagi menangani krisis-krisis yang sedang melanda negara ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu menjelaskan, Al-Sultan Abdullah tidak menolak cadangan yang dikemukakan beliau, sebaliknya menitahkan bahawa lebih baik cadangan penubuhan Mageran itu datangnya daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu Mustapha berkata, negara memerlukan hanya sebilangan kecil mereka yang bijak pandai dalam hal kesihatan, ekonomi dan pentadbiran untuk menguruskan negara jika Mageran dilaksanakan.

“Rakyat juga akan dapat melihat pengurusan yang lebih teratur, tersusun dan bermanfaat besar kerana ia ditunjangi pakar dan mereka yang mahir dalam bidang masing-masing.

“Mageran juga dapat mencegah cubaan pihak-pihak tertentu untuk mengambil kesempatan atas sokongan kepada kerajaan PN buat masa ini selain menyelesaikan desakan untuk mengadakan sidang Parlimen,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Marzuki Mohamad, berkata cadangan penubuhan Mageran bukan langkah sesuai kerana akan merencatkan perancangan kerajaan untuk memulihkan krisis kesihatan dan ekonomi ketika ini.

COMMENTS