Kuasa Menteri Agama ke atas Tabung Haji kekal – Zulkifli

Kuasa Menteri Agama ke atas Tabung Haji kekal – Zulkifli

Kuasa menteri agama ke atas Tabung Haji (TH) akan terus kekal selaras peruntukan Seksyen 10 Akta Tabung Haji 1995 terutama dari segi operasi dan penyelarasan jemaah haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberitahu, beliau bertanggungjawab kepada TH bagi memastikan hak umat Islam dan bakal jemaah haji terpelihara.

“Pengawalseliaan Bank Negara Malaysia (BNM) ke atas TH sama sekali tidak akan menghakis hak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan umat Islam ke atas TH.

“Ini kerana setiap institusi kewangan yang dikawalselia BNM mempunyai model pengurusan berbeza dan boleh terus mengekalkan punca kuasa sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, cadangan penambahbaikan pengurusan dan Operasi TH bertujuan mewujudkan penambahbaikan dalam pengoperasian TH.

Jelasnya, ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjunjung nilai integriti dan tadbir urus yang baik berasaskan lapan prinsip utama yang digariskan United Nations Economic and Social Commission for Asia and the Pacific (UNESCAP).

Tambah beliau, oleh kerana TH diamanahkan menjaga wang lebih RM 8.3 juta pendeposit, pengoperasiannya perlu dilaksanakan dengan jujur, amanah dan berintegriti.

“Pemusatan kuasa yang terlalu besar ke atas suatu individu atau pihak, bagi institusi kewangan terbesar umat Islam ini, dikhuatiri boleh membuka jalan kepada ketidakcekapan tadbir urus yang bakal membawa mafsadah besar kepada TH.

“Oleh itu, perlunya satu kawalselia dari badan yang berkepakaran seperti BNM bagi memastikan TH kekal pada landasannya,” ujarnya.

Tambah Zulkifli, pelaksanaan Model Baharu Operasi TH bertujuan menambahbaik tadbir urus dan model perniagaan dan akan diteliti secara bersama oleh Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan Malaysia, BNM dan TH.

“Ini bagi memastikan TH sentiasa mampan dalam menguruskan ibadah haji umat Islam di Malaysia, di samping melaksanakan perniagaan dan pelaburan bagi memberikan potensi pulangan yang baik untuk pendeposit, sekaligus menjana ekonomi umat Islam.

“Saya berharap semua umat Islam dapat memberikan kepercayaan kepada saya, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta kerajaan melaksanakan penambahbaikan.

“TH mempunyai signifikan yang besar ke atas umat Islam. Perkara utama ialah memperkasa TH serta berada dalam situasi tadbir urus yang diyakini tanpa sebarang keraguan,” ujarnya.

Zulkifli menjelaskan, mereka akan terus memastikan hak umat Islam kekal terpelihara melalui penambahbaikan operasi TH.

“Semoga TH terus maju menguruskan amanah umat Islam dan bakal jemaah haji Malaysia,” katanya.

COMMENTS