KPM perlu jelaskan bentuk persekolahan lepas habis cuti penggal – Ahmad Zahid

KPM perlu jelaskan bentuk persekolahan lepas habis cuti penggal – Ahmad Zahid

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan apakah status sesi persekolahan selepas tamatnya cuti penggal dua minggu yang akan berakhir pertengahan Jun ini.

Katanya, setakat ini, belum ada sebarang pengumuman dibuat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tentang bentuk pembelajaran yang akan diguna pakai, sama ada pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) ataupun untuk membuka semula sekolah jika kes Covid-19 menurun seperti sebelum ini.

“Perlu ada satu ketetapan awal bagi membolehkan para guru, murid dan ibu bapa membuat persiapan sewajarnya.

“Kerana ia melibatkan banyak perkara. Pengangkutan ke sekolah jika sekolah dibuka, peranti dan talian internet andai PdPR diteruskan dan pelbagai lagi.

“Inilah yang menjadi dilema kebanyakan murid, guru dan ibu bapa sejak pandemik Covid-19 melanda negara. Keputusan yang ‘flip-flop’.

“Sekejap sekolah dibuka, sekejap PdPR. Bergantung kepada situasi jangkitan Covid-19 dari semasa ke semasa sangat menyulitkan,” katanya di Facebook, sambil membangkitkan tempoh sekatan pergerakan penuh yang dijangka tamat 14 Jun ini.

Buat masa ini, sekolah sedang bercuti penggal sejak 28 Mei hingga 12 Jun atau 29 Mei hingga 13 Jun – tertakluk kepada kumpulan sekolah.

Negara berada dalam sekatan pergerakan penuh dari 1 Jun hingga 14 Jun, tertakluk pada perubahan.

Setakat ini, belum ada pengumuman rasmi daripada KPM berhubung bentuk pembelajaran selepas tamat cuti penggal, namun Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin dijadualkan mengadakan sidang media khas esok.

Sebelum ini, KPM dan Radzi sering mendapat kritikan umum terutama ibu bapa dek kerana dasar berubah-ubah berhubung sesi pembelajaran dan pembukaan sekolah.

Contohnya, pada April, Radzi berdepan desakan untuk menutup sekolah sementara ekoran lonjakan kes ketika itu, namun dia menzahirkan komitmen untuk meneruskan sesi persekolahan kerana yakin dengan prosedur operasi standard bagi mengawal penularan Covid-19 di sekolah.

Pun begitu, beberapa jam kemudian, dia membuat pengumuman bahawa pelajar akan menjalani PdPR untuk dua minggu selepas cuti Aidilfitri, sebelum cuti penggal mereka bermula, bagi mengelak risiko jangkitan Covid-19 di sekolah selepas cuti raya puasa.

Kata Ahmad Zahid, keputusan sama ada meneruskan PdPR atau tidak, tidak harus disandarkan kepada turun atau naiknya jangkitan, kerana ia menyebabkan sistem pendidikan menjadi haru biru dan momentum serta motivasi anak-anak dan guru terganggu.

Sebaliknya, katanya, PdPR haruslah dilaksanakan untuk satu tempoh munasabah tanpa mengira sama ada kes naik atau turun, bagi membolehkan pelajar dan guru lebih bersedia daripada segi fizikal dan mental.

“Mekanisme pendidikan tidak boleh berterusan ‘flip-flop’ sekejap buka sekejap tutup kerana mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran.

“KPM wajar membuat ketetapan yang jelas tentang pelaksanaan PdPR, namun dalam masa yang sama sebarang isu mengenainya harus ditangani segera,” katanya sambil menambah apa pun keputusan haruslah tidak membebankan ibu bapa, pelajar mahupun guru.

COMMENTS