Khaled dakwa Muhyiddin terdesak

Khaled dakwa Muhyiddin terdesak

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mempersoalkan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yasin yang menjelaskan sebab beliau menyokong Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kerana enggan Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa dengan sokongan kumpulan kleptokrat.

Beliau berkata, terdapat beberapa perkara yang sangat canggung dalam penjelasan itu termasuk dakwaan Muhyiddin menyokong Ismail Sabri atas dasar ingin memastikan Perikatan Nasional (PN) kekal berkuasa.

“Pertama, ia nampaknya sekadar satu cubaan terdesak untuk menggelapkan fakta atau mengalihkan perhatian masyarakat terhadap kegagalan kerajaan PN di bawah pimpinan beliau.

“Sedangkan hakikatnya, kejatuhan PN adalah disebabkan oleh desakan ketidakyakinan rakyat dan ia antara sebab penarikan sokongan oleh UMNO.

“Kedua, beliau sebenarnya sedar bahawa pendirian untuk menganggap UMNO secara umum sebagai pendukung kleptorat adalah tidak benar, malah sangat bercanggah dengan kesanggupan beliau yang kini kembali bekerjasama dengan ramai wakil UMNO,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Ketiga katanya, penolakan Muhyiddin terhadap PH dan sebahagian pemimpin UMNO adalah bermusim dan sangat bersifat acuh tak acuh.

Ini kerana jelasnya, Perdana Menteri yang beliau sokong telah memutuskan untuk bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin PH atau pembangkang yang lain sebagai satu pendekatan baharu dan tidak terdapat sebarang bangkangan beliau dalam hal itu.

“Kesemua perkara ini menunjukkan dengan jelas bahawa pemimpin tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebenarnya tidak mempunyai pendirian yang jelas dan tetap.

“Sebaliknya beliau selesa menukar-nukar pegangan semata-mata untuk menjustifikasi tindakannya yang mahu kekal berada dalam kerajaan.

“Malah ini adalah satu cubaan terdesak untuk tampil sebagai penyelamat Malaysia,” katanya.

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, adalah jelas bahawa Muhyiddin sekadar memberi helah dan mahu mengelirukan.

“Sekaran sudah diberi ruang dan peluang bertaraf menteri, fokuskan sahajalah kepada peranan dan tanggungjawab baharu yang telah diberi,” ujarnya.

COMMENTS