Kerajaan negeri dan pusat didesak selesaikan masalah air di Kelantan – Ahmad Jazlan

Kerajaan negeri dan pusat didesak selesaikan masalah air di Kelantan – Ahmad Jazlan

Kerajaan negeri Kelantan dan kerajaan Persekutuan didesak untuk terus mengadakan rundingan bagi menyelesaikan masalah air di Kelantan yang berlarutan lebih tiga dekad.

Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, beliau percaya tidak timbul masalah untuk kedua-dua pihak mengadakan rundingan itu kerana sudah ada persefahaman dan pertalian yang jelas antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, kerajaan Persekutuan juga perlu mendedahkan kepada rakyat hasil daripada rundingan yang telah dibuat pada 2018.

“Apakah hasil perundingan yang telah dibuat pada 2018 dahulu akan terus dilaksanakan atau apakah sudah ada satu perancangan baharu.

“Kita sedia maklum bahawa isu air di Kelantan ini sudah berlarutan lebih tiga dekad dan sepatutnya perkara ini dapat diselesaikan sudah lama tetapi masih gagal diselesaikan.

“Janji demi janji yang diterima rakyat Kelantan belum lagi mendapatkan hasil sehingga kini,” katanya ketika sesi perbahasan Titah Diraja semasa sidang Dewan Rakyat pada Isnin.

Rabu lalu, pelakon popular, Fizo Omar menggesa pihak berwajib khususnya kerajaan negeri Kelantan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah air tercemar yang dihadapi rakyat negeri berkenaan.

Fizo, 36, menerusi satu hantaran Instagramnya kecewa kerana masalah kualiti air di Kelantan masih tidak berkesudahan sejak sekian lama.

Dalam perkongsian tersebut, Fizo turut memuat naik sebuah video yang memaparkan dia sendiri melalui pengalaman menerima bekalan air kotor di negeri kelahirannya itu.

COMMENTS