Kerajaan Negeri akan ambil tindakan jika Idris langgar sumpah setia – Kamel

Kerajaan Negeri akan ambil tindakan jika Idris langgar sumpah setia – Kamel

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Seri Kamel Mohamad menafikan dakwaan bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron kononnya berlaku campur tangan pihak ketiga dalam urusan pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka.

Tegasnya, segala keputusan yang dibuat semasa mesyuarat adalah muktamad dan keputusan bersama.

“Adalah tidak benar segala keputusan perlu dirujuk kepada pihak ketiga sama ada sebelum, semasa dan selepas mesyuarat.

“Merujuk kepada dakwaan khusus bahawa terdapat campur tangan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Melaka dan dakwaan bahawa keputusan MMKN perlu dirujuk kepada pihak ketiga sebelum dilaksanakan, pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka menafikan dakwaan tersebut.

“Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka juga memandang serius tohmahan mantan ADUN Sungai Udang bahawa MMKN mengamalkan dasar terpilih yang memihak kepada satu-satu kaum dalam membuat keputusan,” jelasnya dalam kenyataan media pada Isnin.

Tegasnya lagi, sebaliknya MMKN sentiasa mengambil kepentingan semua rakyat Negeri Melaka tanpa mengira bangsa dan agama.

“Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka juga ingin memaklumkan bahawa setiap Ahli MMKN telah mengangkat sumpah kerahsiaan ‘untuk tidak memberitahu atau tidak menzahirkan kepada sesiapa sama ada secara langsung atau secara tidak langsung apa-apa perkara yang dibawa untuk pertimbangan MMKN’.

“Dalam hubungan ini, Kerajaan Negeri Melaka sedang meneliti sama ada terdapat pelanggaran ke atas sumpah kerahsiaan tersebut dan sekiranya terdapat pelanggaran, Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan dari segi undang-undang,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, Bekas ADUN Sungai Udang itu mendakwa wujud campur tangan oleh individu tertentu dalam pengurusan kerajaan Negeri Melaka sehinggakan beliau bersama tiga bekas ADUN yang lain menarik sokongan daripada kepimpinan Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Tiga Bekas ADUN terbabit adalah Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

COMMENTS