“Kenapa sikit sangat A?”, Anak terkilan dengan respon ibu sendiri

“Kenapa sikit sangat A?”, Anak terkilan dengan respon ibu sendiri

Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sememangnya ibarat  ‘pentas’ untuk anak-anak menentukan hala tuju mereka sebelum melangkah ke alam pengajian yang lebih tinggi. Namun apa ertinya jika ibu sendiri tak support keputusan SPM?

Keputusan SPM telah diumumkan pada tarikh 16 Jun baru-baru ini, menyaksikan ramai pelajar memperolehi hasil penat lelah mereka sepanjang lima tahun belajar.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, pelbagai berita suka dan duka menyelubungi dewan sekolah sewaktu keputusan peperiksaan SPM tersebut diumumkan.

Bagaimanapun, apa yang ingin diceritakan dalam artikel kali ini adalah mengenai luahan seorang pelajar yang terasa hati dengan ahli keluarganya sendiri.

Kisah tersebut dikongsi oleh pengacara terkenal, Fedtri Yahya di Twitter yang memaparkan luahan seorang pelajar mengenai nasib tidak yang menimpanya.

Dalam luahan berbentuk teks mesej (inbox) berkenaan,  pelajar itu pada awalnya menyatakan rasa syukurnya selepas mendapat keputusan SPM yang cemerlang.

“Assalamualaikum, hari ini 16.6 saya ambil keputusan SPM. Bersyukur sangat-sangat dengan keputusan yang saya perolehi.

“Masa percubaan dapat 4A 2G (gagal) dan lain-lain. Alhamdulillah SPM dapat 6A (iaitu) 3A+ dan 3A tapi takda G la,” luahnya dalam mesej yang dikirim itu.

Bagi orang lain, keputusan itu mungkin sudah memberikan kegembiraan kepada mereka dan ahli keluarga serta guru-guru yang turut tumpang bahagia.

Bagaimanapun sebaliknya apa yang berlaku, keputusan yang diperolehi itu masih tidak memuaskan hati ibunya.

“Ingat mak ayah bangga, bila hubungi mak, mak cakap ‘kenapa sikit sangat A?’. Sakit oh, balik tu terus masuk bilik nangis sedu-sedu.

“Kenapa bukan ucapan tahniah atau umi bangga dengan anak umi ke, haih,” luahnya lagi.

Sementara itu, dia turut menjelaskan bahawa dirinya berasa cemburu melihat pelajar lain mempunyai ibu dan ayah yang sentiasa memberi sokongan.

Scroll Twitter tengok sorang ni keputusan dia tak cemerlang pun tapi dia dikurniakan seorang ibu yang supportive, cemburu tau,” jelasnya lagi.

Tambahnya, dia berharap agar mana-mana ibu ayah perlu berasa bangga dengan pencapaian anak mereka, sekalipun tiada A yang berjaya diperoleh.

“Kata-kata mak ayah ni memberi kesan yang mendalam terhadap emosi anak-anak.

“Nasib saya cool even dah puas menangis, reda jela. Yang penting saya bangga dengan diri saya hehe. Mental kena kuat gitu. Sekian,” luahnya lagi.

Setiap yang bergelar pelajar pasti mempunyai pengalaman tersendiri dengan reaksi ibu bapa mereka.

Sebagai ibu bapa, mereka perlu lebih menyelami perasaan anak-anak mereka yang telah bermati-matian belajar.

Hal ini kerana, setiap kata-kata yang dikeluarkan boleh memberikan kesan mendalam kepada mereka.

“Terus terbang tinggi adik. Hidup ini bukan soal A,B, C sahaja. Luas dan jauh lagi perjalanan,” tulis Fedtri Yahya memberi respon kepadanya.

Perkongsian itu tular dan mendapat perhatian warga maya. Rata-ratanya turut meluahkan situasi yang pernah dialami mereka sewaktu menerima keputusan SPM dahulu.

“Tak pernah dapat ‘Tahniah’ seumur hidup dari keluarga walaupun menyerlah dalam pelajaran. Tapi still just buat tak tahu. Yang penting kita tahu takat mana kita punya achievements. Dunia ni luas, dan banyak lagi benda yang kita kena mentally prepared untuk hadapi. Jadi, kuatkan diri ja lah. Zaman kerja lagi ah,” komen @gojira33.

“Saya pun pernah lalui apa yang adik ni lalui. Faham sangat bila kita dah usaha tapi tak dihargai. Kena banding lagi. Tapi takpa adik. Anggap ini satu pencapaian untuk diri sendiri. Be proud of it! Tahniah!” tulis @orphiclin.

Itu antara beberapa komen yang diberikan oleh warganet mengenai luahan teks pelajar itu.

Sementara itu, walau apa pun yang keputusan yang diperolehi kita sepatutnya berbangga kerana ia merupakan cerminan kepada usaha kita selama ini.

Bagi, mereka yang merasakan dirinya gagal, sebenarnya ia bukanlah noktah terakhir, sebaliknya perlu terus membakar semangat untuk melangkah maju ke hadapan.

Kini, banyak bukti yang memaparkan kebanyakan golongan bijak pandai di seluruh dunia ‘hadir’ dari golongan yang pernah gagal dalam hidup mereka.

Terbukti, gagal bukanlah noktah untuk kita terus bangkit dan maju ke hadapan.

COMMENTS