Kemenangan dalam PRN Melaka signal rakyat kembali percaya pada BN – Mah Hang Soon

Kemenangan dalam PRN Melaka signal rakyat kembali percaya pada BN – Mah Hang Soon

Semangat kebersamaan parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) antara tumpuan utama MCA bagi memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas kejayaan gabungan itu semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, selaku antara parti komponen BN, ia akan membuat ‘post-mortem’ bagi PRN Melaka dan mengambil iktibar daripada PRU14 untuk terus mendapatkan kepercayaan rakyat.

“Kemenangan dalam PRN Melaka menunjukkan rakyat kembali percaya kepada BN. Kita juga perlu fokus kepada pengundi 18 tahun yang akan mengundi kali pertama selain mengambil pengajaran daripada PRU lepas,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan MCA Perak di sini hari ini.

Keputusan PRN Melaka menyaksikan BN, yang terdiri daripada gabungan UMNO, MCA dan MIC, memperoleh 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala Pakatan Harapan memenangi lima kerusi dan Perikatan Nasional mendapat dua kerusi.

Menyentuh program hari ini, Hang Soon yang juga Timbalan Menteri Pendidikan berkata, mesyuarat yang diadakan serentak di seluruh negara itu antara lain membincangkan strategi memperkukuh kerjasama antara parti komponen dalam BN.

“Adalah penting bagi ahli MCA menumpukan usaha meraih kemenangan lebih besar pada PRU15. Ia memerlukan kerjasama erat dan kukuh selepas keperitan yang kita lalui pada PRU14 lepas.

“Kita perlu ambil peluang dengan bekerja bersungguh-sungguh bagi mendapatkan kepercayaan rakyat pada BN,” katanya.

COMMENTS