Inflasi dijangka akan jadi masalah besar pada bulan mendatang – Najib

Inflasi dijangka akan jadi masalah besar pada bulan mendatang – Najib

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menjangkakan inflasi akan menjadi masalah yang semakin besar pada bulan mendatang sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih tidak ambil sebarang tindakan.

Menurutnya, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah mengeluarkan Indeks Harga Pengeluar Malaysia (iaitu kos untuk mengeluarkan barang) bagi bulan lalu di mana kebiasaannya apabila kos pengeluaran meningkat, harga kepada pengguna akhir turut akan naik beberapa bulan kemudian.

“Indeks harga pengeluarannya naik 10.6 peratus pada bulan April 2021. Lagi tinggi berbanding kenaikan 6.7 peratus pada bulan Mac 2021 yang sudahpun tinggi.

“Kali ini, kenaikan harga pengeluaran bukan hanya sekadar bahan mentah, pembinaan atau harga minyak yang sudahpun naik tinggi pada bulan sebelumnya tetapi telah beralih ke kos pengeluaran makanan.

“Misalnya, kos harga bahan untuk pembuatan makanan bagi peringkat perantaraan telah melonjak 31.1 peratus pada bulan April,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Jumaat.

Justeru, Ahli Parlimen Pekan itu sekali lagi menggesa kerajaan agar segera kembalikan diskaun elektrik untuk semua sektor termasuk domestik bagi meredakan sedikit tekanan harga dan inflasi.

Jelas beliau, sebelum ini DOSM telah mengesahkan penamatan diskaun elektrik sebagai satu faktor kenapa inflasi meningkat.

“Lagipun kerajaan suruh satu keluarga duduk rumah 24 jam dalam ‘total lockdown’, mahu bil elektrik tak menlonjak pada akhir bulan?

“Sekiranya kerajaan masih tak mahu dengar, korang tanggunglah sendiri kesannya nanti apabila rakyat marah,” katanya.

COMMENTS