Hari Malaysia, penyatuan rakyat sebagai Keluarga Malaysia – Bung

Hari Malaysia, penyatuan rakyat sebagai Keluarga Malaysia – Bung

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan pembentukan Malaysia pada 1963 sebagai penyatuan rakyat Sabah, Sarawak dan Semenanjung sebagai ‘Keluarga Malaysia’ tanpa mengira asal atau latar belakang.

Beliau berkata penyatuan sebuah keluarga Malaysia ini tetap kekal sejak sekian lama, kerana wujud perasaan hormat menghormati antara satu sama lain dan saling menghargai keunikan serta kepelbagaian kaum dan etnik di negara ini.

Sehubungan itu katanya penyatuan ‘Keluarga Malaysia’ dapat membawa kemajuan bersama, antaranya pembangunan infrastruktur, pendidikan, ekonomi, komunikasi dan kemudahan asas, meskipun masih banyak yang perlu dilakukan dan diperbaiki.

“Tanggal 16 Sept, Hari Malaysia tidak kurang pentingnya dengan Hari Kemerdekaan, ia perlu dijiwai oleh seluruh rakyat tanpa mengira bangsa agama dan ideologi politik, kita harus komited mengubah mentaliti segelintir rakyat yang masih tidak peduli signifikan Hari Malaysia.

“Signifikannya Hari Malaysia, ia bukan sekadar memperingati detik sejarah penubuhan Malaysia semata-mata, rakyat perlu memahami nilai kebersamaan sebuah keluarga iaitu ‘Keluarga Malaysia’ yang kita kecapi bersama sejak sekian lama,” katanya dalam temubual dengan Bernama.

Katanya di sebalik kemajuan dicapai, ia juga mengingatkan semua pihak bahawa segala perancangan dan perlaksanaan program pembangunan negara, amat bergantung kepada kestabilan politik.

Menurutnya apabila politik negara menjadi tidak stabil serta kerap berlaku pertukaran kerajaan, segala dasar yang dirancang sebelum ini akan bertukar dan ini sudah tentu turut menjejaskan usaha untuk membangunkan negara secara lebih berkesan.

Justeru kata Bung Moktar wacana dan naratif yang betul dan waras mengenai sejarah pembentukan Malaysia, amat perlu disemai supaya sentimen negatif tidak terus bersemarak yang akhirnya melemahkan sistem persekutuan, selain menghancurkan kedaulatan negara pada jangka panjang.

“Rakyat perlu faham akan nikmat yang diperoleh sejak Malaysia dibentuk, serta kesan dan implikasinya jika kita asyik bertelagah, tidak bersatu, dan lebih buruk lagi jika mengambil tindakan untuk keluar Malaysia.

“Hakikatnya ketika kesepaduan sosial perlu dikukuhkan, kita tidak harus lupa untuk mengukuhkan integrasi nasional. Perpaduan kaum dan perpaduan antara negeri-negeri serta tiga wilayah itu penting diperkukuh, bersatu teguh bercerai kita roboh,” katanya.

Mengenai cabaran menghadapi COVID-19, Bung Moktar berkata nilai ‘Keluarga Malaysia’ jelas terpancar melalui kebersamaan semua pihak sama ada kerajaan negeri dan Persekutuan, mahupun rakyat seluruh negara dalam menempuh dugaan tersebut.

Beliau berkata usaha Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui gagasannya membina ‘Keluarga Malaysia’, memberikan sinar baharu untuk rakyat di negeri ini terutama dalam usaha menangani penularan pandemik COVID-19.

“Gesaan beliau agar beberapa buah negeri termasuk di Sabah diberikan perhatian khusus dalam menangani masalah COVID-19, menterjemahkan tema sambutan Hari Malaysia tahun ini iaitu ‘Malaysia Prihatin’ dilaksanakan,” katanya.

Bung Moktar berkata keprihatinan kerajaan Persekutuan itu dapat dilihat dalam pemberian 2.89 juta dos vaksin COVID-19, bagi membolehkan Negeri di Bawah Bayu itu mencapai tahap vaksinasi dewasa 60 peratus menjelang akhir bulan ini dan 80 peratus bulan hadapan.

Mengulas mengenai Sabah sebagai tuan rumah sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept ini, beliau yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur Hari Malaysia 2021 berkata pelbagai acara dengan SOP ketat telah dirancang untuk sambutan itu.

Katanya antara yang dijadualkan menghadiri majlis itu, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, Ismail Sabri, Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Sambutan itu menurutnya membariskan acara termasuk Majlis Menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia 2021, tayangan montaj ‘Malaysia Prihatin’ dan pesembahan Khas ‘Malaysia Prihatin’ oleh artis Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.

“Pemilihan Sabah sebagai tuan rumah sambutan tahun ini sudah tentu satu keistimewaan kepada rakyat negeri ini, di mana generasi muda akan memahami detik bersejarah yang diperjuangkan oleh pemimpin terdahulu yang memperlihatkan penyatuan Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Kesan dari penyatuan tersebut, mereka (generasi muda) hari ini turut menikmati kemakmuran dan kemajuan atas nama sebuah negara Malaysia,” katanya yang secara peribadi sebagai pengerusi bersama sambutan itu, mahu memastikan ia memahat memori manis kepada semua rakyat Malaysia.

COMMENTS