Gol Amri menunjukkan dia masih berbisa

Gol Amri menunjukkan dia masih berbisa

Pemain Senior Sabah FC, Amri Yahyah kembali menjadi jaguh skuad Sang Badak selepas menjaringkan dua gol untuk menewaskan Melaka United FC dengan 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, malam ini.

Amri yang menggantikan Stuart John Wilkin pada separuh masa kedua berjaya meledakkan gol pada minit ke-65 dan ke-90, masing-masing menerusi hantaran Alto Linus dan Muhammad Farhan Roslan.

Keputusan itu sekali gus mengecewakan Melaka United yang berharap membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata selepas mendahului 1-0 pada minit ke-23.

Gol tunggal Melaka United itu dijaringkan pemain importnya, Ifedayo Omosuyi selepas mendapat bola yang ditepis penjaga gol Sabah FC, Khairul Fahmi Che Mat.

Jaringan itu memberi semangat kepada pasukan Melaka untuk menambah jaringan pada baki permainan babak pertama dan awal separuh masa kedua, namun dengan keadaan padang yang becak dan licin akibat hujan lebat, usaha itu nampaknya gagal.

Sabah juga tidak terkecuali berdepan corak permainan yang agak kucar-kacir disebabkan padang licin, namun kemasukan Amri dan beberapa pemain muda pada separuh masa kedua sedikit mengubah situasi.

Skuad Sang Badak dilihat kembali menguasai perlawanan selepas lebih 10 minit aksi babak kedua sehingga berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-65 dan seterusnya gol kemenangan pada minit ke-90.

Corak permainan yang agak agresif dan kawalan pergerakan yang sukar akibat padang becak dan licin menyebabkan dua pemain iaitu Ahmad Haziq dari Melaka United dan Rawilson Batuil dari Sabah FC dilayangkan kad merah malam ini.

Kedudukan 2 – 1 itu kemudian kekal sehingga pengadil perlawanan Muhammad Nazmi Nasaruddin meniupkan wisel penamat.

Kemenangan itu menyaksikan Sabah kekal di tangga kedua Liga Super selepas meraih 31 mata dalam 14 perlawanan, hanya beza satu mata di belakang JDT yang setakat ini beraksi 12 perlawanan.

COMMENTS