Cubaan lagakan UMNO dan Bersatu adalah tidak bertanggungjawab – Pensyarah

Cubaan lagakan UMNO dan Bersatu adalah tidak bertanggungjawab – Pensyarah

Cubaan bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk A Kadir Jasin untuk melagakan UMNO dan Bersatu dilihat sebagai satu tindakan tidak bertanggungjawab.

Bahkan, Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Kamarul Zaman Yusoff berpendapat tindakan itu juga seolah-olah cuba meruntuhkan kerajaan.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, alasan mengatakan UMNO kembali berkuasa hanya kerana Datuk Seri Najib Tun Razak melawat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan hujah sangat lemah.

“Adalah menjadi lumrah kepada pemimpin sesebuah parti untuk membuat kunjungan hormat kepada pemimpin parti mereka yang lain yang baru mendapat lantikan jawatan tinggi di samping mengemukakan pengharapan mereka kepada beliau.

“Kenyataan Kadir ini sepertinya mahu melaga-lagakan antara Ismail Sabri dan Muhyiddin sedangkan Ismail Sabri dan rakan-rakan UMNO beliau yang bergelar menteri sudah beberapa kali melafazkan taat setia kepada Muhyiddin selaku Perdana Menteri,” katanya.

Tegasnya, kunjungan daripada pemimin UMNO itu langsung tidak membimbangkan malah ia sebenarnya perkara yang baik di mana pemimpin parti itu sudah mempunyai saluran untuk menyampaikan sesuatu.

“Untuk menyatakan bahawa Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri akan mampu melaksanakan segala kehendak dan tuntutan pemimpin UMNO adalah satu perkara yang tidak realistik dan menunjukkan Kadir seolah-olah berada di alam khayalan.

“Kadir mesti tahu bahawa walau apa pun yang diserahkan kepada Ismail Sabri, pada akhirnya akan dibawa kepada pertimbangan Muhyiddin selaku Perdana Menteri dan kepada mesyuarat Jemaah Menteri untuk dibincang dan diputuskan secara bersama.

“Sesi kunjungan ini pastinya akan meredakan suasana huru-hara dalam perjalanan kerajaan yang berlaku sebelum ini bila pemimpin UMNO menyuarakan secara terbuka pandangan dan kritikan mereka terhadap keputusan dan tindakan kerajaan,” ujarnya.

Katanya, beliau menganggap adalah satu penghinaan untuk mengandaikan Ismail Sabri akan mencampuri urusan mahkamah dan membebaskan ‘kluster mahkamah UMNO’ sedangkan Ahli Parlimen Bera itu mempunyai latar belakang undang-undang.

Sebelum ini, Kadir di dalam sebuah portal dilaporkan berkata bayangan bahawa UMNO kini sudah kembali berkuasa dalam kerajaan semakin jelas.

Menurutnya, hakikat tersebut disahkan dengan kedatangan Najib ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk bertemu Ismail Sabri baru-baru ini.

COMMENTS