BN tak boleh dikuasai parti tertentu – Makkal Sakthi

BN tak boleh dikuasai parti tertentu – Makkal Sakthi

Presiden Parti Makkal Sakthi RS Thanendran berkata gabungan Barisan Nasional (BN) perlu inklusif dan perlu terbuka kepada semua parti politik yang mempunyai idealogi politik yang sama.

“Makkal Sakthi sedang bekerjasama dengan pihak dari BN dalam usaha mendaftar parti itu sebagai komponen BN.

“Buat masa ini segalanya berjalan lancar. Tidak ada isu,” katanya kepada Malaysiakini selepas mempengerusikan majlis Perhimpunan Agung Tahunan parti itu di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur, hari ini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas status terkini kedudukan parti tersebut dalam BN.

Sebelum ini, Makkal Sakthi dikenali sebagai ‘BN Friendly’ atau ‘Mesra BN’ selama 13 tahun.

“Seperti kata timbalan pengerusi BN Mohamad Hasan sebelum ini, BN perlu inklusif.

“Ia perlu terbuka kepada semua parti politik yang mempunyai idealogi politik yang sama. Semua orang perlu diberi peluang untuk memainkan peranan masing-masing.

“Tidak boleh dikuasai parti tertentu sahaja. Masih terdapat ruang yang luas di BN. Cukup untuk semua orang,” katanya.

Buat masa ini, BN dianggotai empat parti masing-masing Umno, MCA, MIC dan PBRS.

Di bawah konsensus BN, semua parti komponen perlu bersetuju untuk mendaftar masuk anggota baru.

COMMENTS