BN rasa dikhianati, Ahli Parlimen lompat parti dayus – Ahmad Zahid

BN rasa dikhianati, Ahli Parlimen lompat parti dayus – Ahmad Zahid

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi mengecam ahli-ahli parlimen Barisan Nasional (BN) yang melompat parti, menyifatkannya sebagai satu tindakan ‘tidak bermaruah dan dayus’.

Berucap pada majlis Perhimpunan Agung Tahunan Parti Makkal Sakti di Menara Dato Onn, secara maya hari ini, Zahid berkata BN merasa dikhianati akibat tindakan wakil rakyat tersebut .

“Tindakan mereka jelas telah mencabul amanah diberikan kepada mereka.

“Mereka yang lompat parti itu sebenarnya mengejar wang, kuasa dan juga ketakutan dengan pertuduhan yang boleh mengheret menjadi kluster mahkamah.

“Kita perlu jadikan sejarah hitam PRU14 sebagai iktibar. Matlamat kita adalah bangkit semula. Sebarang isu dalaman parti baik dari pihak Umno, parti komponen atau parti lain hendaklah diselesaikan sebelum pilihan raya akan datang,” katanya.

Selepas BN ditumbangkan pada PRU14, sebanyak 15 ahli parlimen yang menang atas tiket BN lompat parti menyertai parti lain khususnya Bersatu.

Gabungan BN turut mengecil selepas sembilan daripada jumlah 13 parti komponen mengumumkan keluar daripada gabungan tersebut.

BN kini hanya dianggotai Umno, MCA, MIC dan PBRS manakala Makkal Sakti masih disifatkan sebagai parti ahli gabungan BN.

Sementara itu, Zahid sekali lagi mengulangi bahawa Makkal Sakti akan diberi tempat untuk bertanding bawah tiket BN pada pilihan raya umum akan datang.

“Makkal Sakthi akan diberikan peluang untuk bertanding atas kesetiaan selama 13 tahun menyokong BN.

“Jadikan Makkal Sakti sebagai aset. Saya merasakan kita akan berbincang dengan rakan-rakan dalam BN, kita akan memberi tempat pada PRU15 dalam parlimen atau DUN nanti,” katanya.

Untuk rekod, ketika kempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim, Zahid memberitahu Makkal Sakti akan diberi peluang bertanding pada PRU15.

Dia juga menyatakan sokongan Makkal Sakthi kepada BN mampu melonjakkan semula gabungan itu.

Terdahulu, ketika ucapan dasar Presiden Makkal Sakti RS Thanendran meminta BN agar memberi peluang kepada partinya untuk bertanding di empat parlimen dan 11 DUN pada pilihan raya umum akan datang.

COMMENTS