BN menang besar kerana pengundi Melaka mahukan kestabilan politik

BN menang besar kerana pengundi Melaka mahukan kestabilan politik

Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menunjukkan bahawa pengundi lebih yakin gabu­ngan parti yang diterajui UMNO mampu mewujudkan semula kestabilan politik di negeri itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr. Jeniri Amir me­nyifatkan, ketidakstabilan ke­rajaan negeri sejak tahun lalu menyedarkan pengundi Melaka bahawa Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN) tidak mampu membentuk sebuah kerajaan yang stabil.

Malah, katanya, keputusan PRN Melaka juga menunjukkan bahawa pengundi langsung tidak boleh menerima calon-calon yang melompat parti, yang menjadi punca kepada kejatuhan kerajaan.

“Jelas bahawa hasrat pengundi adalah mereka mahukan kestabilan politik. Krisis dalaman yang berlaku sebelum ini jelas mempengaruhi sokongan untuk beralih kepada BN terutama kerusi-kerusi Melayu.

“Pengundi mahu mengelakkan daripada sebarang krisis pada masa akan datang. Mereka berharap BN dapat menumpukan kepada isu kesihatan dan ekonomi. Keputusan PRN ini juga memberikan mesej kepada PH bahawa mereka telah bertindak salah kerana memilih ‘katak politik’, lalu mereka dihukum kerana mengetepikan prinsip, ini sebenarnya satu pengajaran untuk semua,” katanya.

BN memenangi 21 daripada 28 kerusi iaitu dua pertiga DUN Melaka, menyaksikan tambahan lapan kerusi, berbanding 13 kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Mereka menewaskan PH yang hanya memenangi lima kerusi dan PN dua kerusi daripada 28 kerusi yang dipertan­dingkan.

Dalam pada itu, Dr. Mazlan Ali dari Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur pula menyifatkan, faktor kemena­ngan BN di Melaka adalah bersandarkan kepada krisis semasa, peratusan keluar mengundi dan pengundi Melayu.

“BN bernasib baik kerana pe­ratusan keluar mengundi ren­dah iaitu sebanyak 65.85 pe­ratus berbanding sasaran 70 peratus. Ketika PRU-14, peratusan keluar mengundi lebih 80 peratus, beza 20 peratus sekarang kerana ketiadaan pengundi luar. PH menang pun disebabkan ramai yang balik mengundi sebelum ini.

“Pada masa sama, pengundi Melayu juga beralih arah, dahulu mereka sokong PH kerana dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dan ada pelbagai isu seperti gelombang 1MDB. Sekarang, bukan sahaja pengundi Melayu beralih, pengundi Cina dan India juga lebih terbuka, sebab itu MIC dan MCA pun boleh menang kerusi,” katanya

COMMENTS