Bersatu sedia bekerjasama dengan UMNO – Ahmad Faizal

Bersatu sedia bekerjasama dengan UMNO – Ahmad Faizal

Keputusan UMNO menolak untuk bekerjasama dengan parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) khususnya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diyakini hanya diwakili suara minoriti pemimpin parti itu.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yakin pendirian itu merupakan pandangan peribadi pemimpin tertentu dalam UMNO dan bukannya majoriti.

Menurutnya, Bersatu sedia bergandingan dengan sesiapa juga yang mengikuti atau bersama dengan perjuangan mereka.

“Jadi, kalau ada yang kata tak nak bersama dengan kita, saya percaya mungkin itu pandangan peribadi bukan pandangan majoriti wadah yang mereka wakili.

“Dalam hidup ini memang kadang-kadang ada orang nak kawan dengan kita dan kadang-kadang sebaliknya. Mungkin kerana cemburu sebab kehebatan dan kelebihan yang ada pada kita.

“Menjawab kepada soalan itu, kebanyakan pemimpin di atas sana tidak ada masalah untuk bekerjasama mungkin ada satu dua orang yang enggan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Alor Gajah di A’ Famosa Resort, di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Melaka, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ts. Kamel Mohamad.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan partinya tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Keputusan itu berikutan pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka malah bersetuju bahawa PRN akan menjadi ujian untuk membuktikan bahawa UMNO tidak memerlukan Bersatu untuk memenangi pilihan raya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, partinya sedia membuka rundingan bagi bekerjasama dengan mana-mana parti bagi menghadapi PRN termasuk UMNO.

Menurutnya, pintu rundingan sentiasa dibuka dengan sesiapa sahaja kerana pihaknya mengamalkan politik yang mesra dan berkasih sayang.

“Kita tak mahu bergaduh dengan orang dan memaafkan serta berbaik dengan sesiapa pun,” katanya.

COMMENTS