Belum ada mana-mana negara berjaya tangani wabak Covid19 – Abdul Hadi

Belum ada mana-mana negara berjaya tangani wabak Covid19 – Abdul Hadi

PAS menyarankan agar tiada mana-mana pihak mempercayai sesiapa saja yang mengaku mampu menyelesaikan masalah Covid-19 kerana belum ada negara yang berjaya menangani wabak tersebut.

Presidennya Abdul Hadi Awang sebaliknya berkata orang ramai wajar berfikir secara “matang dan sejahtera” untuk melihat isu ancaman wabak yang sedang melanda seluruh dunia sekarang.

“Berfikirlah dengan matang dan sejahtera. Adakah mereka yang tidak mampu menunaikan janji PRU ke-14 yang sedikit, tiba-tiba hari ini mendakwa mampu menyelesaikan masalah Covid-19 yang sedang merebak ke seluruh alam di muka bumi?

“Walhal sehingga sekarang belum ada mana-mana negara yang berjaya menanganinya,” kata Abdul Hadi dalam kenyataan pagi ini.

Ahli parlimen Marang itu menambah kumpulan terbabit – dipercayai merujuk kepada pembangkang – tidak wajar untuk dipercayai selepas mendakwa mampu menghadapi wabak Covid-19.

“Sedangkan mereka baru sahaja menipu rakyat dengan janji manifesto yang tidak mampu ditunaikan,” katanya.

Untuk rekod Pakatan Harapan (PH) merupakan gabungan parti yang mendapat mandat untuk membentuk kerajaan dalam PRU ke-14 pada 2018. Ia menggabungkan PKR, DAP, Amanah dan Bersatu.

Bagaimanapun Bersatu dibawa meninggalkan PH dan bersama segelintir ahli parlimen PKR mereka mendapat sokongan PAS untuk membentuk kerajaan baru dikenali sebagai Perikatan Nasional (PN).

Kerajaan PN tanpa janji manis

Gabungan berkenaan dikritik kerana menubuhkan kerajaan tanpa mendapat mandat rakyat melalui pilihan raya.

Pengkritik seperti PAS mendakwa PH gagal menunaikan banyak janji pilihan raya semasa menjadi kerajaan, termasuk beberapa ikrar yang sebenarnya dibuat semasa kempen PRU ke-13.

Kerajaan PH diketuai oleh Ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad, yang akhir-akhir ini mengemukakan cadangan untuk membantu kerajaan mengawal jangkita Covid-19. PAS sebelum ini pernah menyatakan ikrar menyokong Mahathir sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun untuk rekod, pihak yang mengkritik cara kerajaan menguruskan wabak Covid-19 bukanlah terhad kepada pembangkang saja. Selain itu Umno juga lantang bersuara menegur kerajaan PN.

Abdul Hadi berkata berpolitik tidak seharusnya menjadikan seseorang seperti penjual ubat yang menipu pelanggan melalui cara yang diharamkan.

Katanya masa rakyat juga dihabiskan dengan amalan politik kotor, terutama yang disebar melalui media tanpa sempadan – yang didakwa Abdul Hadi – menyebabkan ramai orang diperbodohkan.

“Caranya hanyalah menyebarkan masalah yang belum selesai di seluruh dunia sebagai alasan kegagalan dan menutup banyak kejayaan yang telah dicapai.

“Lebih parah sekiranya gerakan yang merosakkan masyarakat ini didalangi oleh musuh agama, negara dan bangsa yang bersedia memberikan seberapa banyak sumbangan kepada sesiapa sahaja yang bersedia menjadi tentera upahannya.

“Lebih malang lagi, apabila penganut Islam berwalikan (bertuankan) kepadanya,” kata Abdul Hadi.

Duta khas bertaraf menteri itu juga sekali lagi memberikan justifikasi atas tindakan partinya mengambil kuasa kerajaan tanpa pilihan raya sebagai langkah yang wajar.

Langkah itu, kata Abdul Hadi, dibantu oleh pihak yang menyedari “kebocoran bahteranya sendiri” dan diganti dengan “kerajaan bertanggungjawab” tanpa disertai “janji manis”.

“Kita telah berjaya menjatuhkan kerajaan yang tidak bermoral itu dengan dibantu oleh mereka yang sedar akan kebocoran bahteranya sendiri.

“Kemudian, digantikan dengan kerajaan yang bertanggungjawab dengan penuh kesabaran dan menunaikan kewajipan kepada rakyat tanpa sebarang janji manis.

“Hal ini kerana, perkara yang wajib hendaklah ditunaikan dan tidak semestinya dilakukan hanya setelah berjanji. Walau bagaimanapun, ia tetap wajib ditunaikan, malah berdosa sekiranya tidak ditunaikan,” katanya.

Kenyataan Abdul Hadi itu juga dibuat beberapa hari sebelum parlimen dibuka kembali untuk bersidang buat kali pertama sejak darurat diisytiharkan pada pertengahan Jan lalu.

COMMENTS