Apa orang Melaka dapat kalau benci saya – Najib

Apa orang Melaka dapat kalau benci saya – Najib

Bekas Perdana Menteri, Najib Razak mempersoal tindakan pembangkang menjadikannya sasaran utama menjelang hari pengundian pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka Sabtu ini.

Beliau berkata, skrip yang digunakan pembangkang adalah skrip lama untuk menghasut rakyat membenci Najib dan ia sekali lagi digunakan untuk PRN Melaka.

“Cerita permohonan saya untuk diberi kediaman di bawah akta kerajaan yang saya buat pada tahun 2018 selepas PRU14 tiba-tiba dikeluarkan menjelang hari mengundi PRN Melaka.

“Tiba-tiba diberi nilai RM100 juta. Sedangkan ianya tanah kerajaan sedia ada yang diberi kepada saya untuk saya pilih di bawah akta kerajaan. Bukan suruh kerajaan belanja untuk beli bagi saya.

“Saya dan isteri saya dijadikan bahan untuk Maharaja Lawak Mega. Gambar edit isteri saya pula dijadikan bahan squid game DAP dan banyak lagi,” katanya di Facebook.

Najib berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana beliau bukanlah calon yang akan dipilih pada PRN Melaka malah tidak memegang apa-apa jawatan dalam Majlis Kerja Tertinggi Umno.

“Apa kena mengena benci saya dengan PRN Melaka?

“Apa yang pihak-pihak lawan fikir warga Melaka akan dapat sekiranya mereka benci saya? Apa yang rakyat Malaysia telah dapat dengan membenci saya selepas PRU14?,” soal Najib lagi.

Najib turut mempersoal sama ada tindakan pembangkang itu memberikan kelebihan kepada negara.

“Ekonomi lebih bagus? Aset-aset negara bertambah? Dividen tabung-tabung simpanan menaik? Kesejahteraan hidup Rakyat bertambah baik? Negara lebih stabil dan terancang? Pasaran saham lebih baik? Pelaburan asing menaik? Janji-janji manifesto ditepati? Apa sebenarnya?,” soal Najib.

COMMENTS