Ahmad Zahid berharap isu sekatan jemaah umrah diselesaikan segera

Ahmad Zahid berharap isu sekatan jemaah umrah diselesaikan segera

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap agar isu pelaksanaan sekatan perjalanan dikenakan terhadap rakyat Malaysia untuk menunaikan ibadah umrah dapat diselesaikan dalam kadar segera agar tempoh sekatan tidak berlanjutan lebih lama.

Ujarnya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), isu tersebut masih menjadi perbualan sehingga hari ini.

“Kita 100 peratus simpati terhadap bakal jemaah umrah yang tidak berkesempatan menjejakkan kaki ke Tanah Suci kerana sekatan dikenakan kerajaan Malaysia. Kita 100 peratus simpati terhadap nasib agensi pelancongan yang menyediakan perkhidmatan umrah kerana terpaksa menanggung kerugian besar sekali lagi.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) namun telah menjelaskan justifikasi untuk kerajaan menyekat rakyat daripada menunaikan umrah selama sebulan. Ia ekoran banyak kes jemaah umrah dikesan positif COVID-19 sejak kumpulan pertama jemaah umrah berlepas ke Tanah Suci pada 13 Oktober lalu.

“Bagaimanapun kita berharap isu itu dapat diselesaikan dalam kadar segera agar tempoh sekatan tidak berlanjutan lebih lama,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal terbabit, hari ini.

Ujarnya, permasalahan utama adalah tentang Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengelak jemaah umrah dijangkiti dan penularannya di Malaysia.

“Jika hal itu dapat ditangani, maka keberangkalian atau risiko untuk dijangkiti dan penularannya di Malaysia dapat dikurangkan ke paras terendah.

“Pandangan ini bukan terlalu optimistik memandangkan lebih ramai jemaah umrah yang tidak dijangkiti berbanding yang dijangkiti.

“Dalam masa yang sama kita masih terkejut dengan pendedahan terdapat jemaah umrah Malaysia dalam kalangan mereka yang tidak divaksin. Kita menyeru kepada mereka yang belum divaksin dan memasang hasrat mengerjakan umrah supaya berlaku jujur kepada diri sendiri.”

Ujarnya, ia bukan semata-mata berkenaan faktor syarat atau peraturan ditetapkan pihak berwajib, tetapi jauh lebih penting adalah tentang keselamatan diri.

“Kita juga 100 peratus kesal dengan kenyataan seorang peguam dan aktivis berkenaan jemaah umrah baru-baru ini.

“Beliau kata jemaah umrah tidak patut diberi layanan istimewa kerana mereka yang memilih untuk ke luar negara sama seperti orang ke negara lain.

“Kita pula kata jemaah umrah sememangnya seharusnya diberi layanan istimewa kerana mereka ke sana menunaikan ibadah. Noktah!” tegasnya lagi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Terdahulu dilaporkan, kabinet bersetuju untuk menangguhkan perjalanan umrah bermula 8 Januari selama sebulan bagi membolehkan kadar risiko penilaian jangkitan Omicron dibuat.

COMMENTS